PUTRAJAYA - Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan yang memberi manfaat kepada Malaysia tanpa mencampuri geopolitik mana-mana negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, meskipun menyedari dua negara kuasa besar, iaitu China dan Amerika tidak mempunyai hubungan yang baik sesama mereka, namun Malaysia tidak berminat untuk menyebelahi mana-mana pihak.
"Cuma ada beberapa hal yang dibesarkan, soal Palestin dan China kerana banyak negara barat agak sangsi mengapa nampak kita berdamping dengan China, jawapan saya mudah, kita negara kecil, kita mahu berkembang, kita jaga kemaslahatan rakyat.
"Kumulatif pelaburan dari Amerika masih nombor satu dan kita tidak ada masalah pelabur dari Amerika datang, kita sambut dengan baik,” katanya semasa berucap pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pada Isnin.
Anwar berkata, Malaysia juga tidak mahu menimbulkan masalah dengan China yang merupakan negara jiran walaupun ada sedikit perbezaan pendapat, hal itu dibincangkan dengan baik.
"Jadi apabila saya ditanya soalan, bab Chinafobia atau Sinofobia, saya jawab tak ada sebab untuk ada permusuhan dan anti sesiapa,” katanya.
Anwar berkata, meskipun Malaysia berbeza pendapat tentang sikap Amerika dalam soal perang Israel-Palestin ataupun keganasan dan kezaliman Zionis Israel ke atas bumi Palestin khususnya Gaza, hal itu disuarakan dengan terang.
"Bukan saya nak pilih untuk buat kenyataan-kenyataan yang keras terhadap orang lain, saya lebih baik tumpu perhatian untuk betulkan ekonomi negara kita, struktur negara kita, angkat martabat negara kita, tetapi kalau anak-anak kecil, bayi, wanita, orang tidak bersalah itu dihancurkan tiap hari, maka berdepan dengan Presiden Joe Biden, tentunya saya ambil kekuatan untuk menyatakan sikap pendiriannya.
"Saya kata saya tidak bangkitkan soal dia iktiraf Israel, soal dia sokong Israel, saya kata hentikan kezaliman dan pembunuhan ini segera,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28