TOKYO - Loji kuasa nuklear (NPP) Fukushima telah menyelesaikan tahun pertama pelepasan air radioaktif terawat ke laut walaupun menerima bantahan dari dalam dan luar negara, menurut pengendali loji itu lapor Xinhua.
Tokyo Electric Power Company (TEPCO) pada Ahad berkata, loji itu menyelesaikan fasa keempat dan terakhir pelepasan air radioaktif terawat untuk tahun fiskal semasa yang berakhir pada Mac.
Mengikut rancangan awal, lebih 31,000 tan air terawat yang mengandungi tritium radioaktif akan dilepaskan ke laut bermula Ogos 2023 dengan setiap pusingan pelepasan dijalankan selama kira-kira dua minggu.
Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi pada awal minggu ini menekankan usaha berterusan dalam memantau pelepasan air radioaktif terawat di lautan Jepun dari loji berkenaan susulan lawatan pertamanya ke wilayah Fukushima sejak pelepasan air terawat bermula.
Walaupun kerajaan Jepun dan TEPCO telah menegaskan keselamatan dan keperluan pelepasan air terawat, kebimbangan telah dibangkitkan dari negara jiran dan pemegang kepentingan tempatan mengenai impak alam sekitar.
Seorang nelayan dari bandar Shinchi di Fukushima, Haruo Ono berkata, semua nelayan membantah pelepasan air radioaktif terawat ke laut.
Menurut beliau, air tercemar itu telah masuk ke kawasan yang mereka anggap bernilai dan proses berkenaan akan berterusan sekurang-kurangnya selama 30 tahun. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28