SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperuntukkan sebanyak RM250 juta untuk memacu pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan di Malaysia melalui usaha sama dengan firma modal teroka pan-Asia, Gobi Partners.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, ia bagi meningkatkan pelaburan dan mengukuhkan kedudukan sebagai pelabur terbesar dalam pasaran domestik dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM702.48 bilion setakat Disember 2023.
Menurutnya, pelaburan itu akan bertumpu kepada enam tema strategik termasuk penjagaan kesihatan yang memfokuskan terhadap warga emas dan ‘silver economy’.
"Selain itu, ia merangkumi pertanian dan sains makanan yang melihat kepada penambahbaikan ekosistem pengeluaran makanan, keterangkuman perkhidmatan kewangan serta kemampanan dengan menumpukan terhadap peralihan tenaga.
"Ia turut melibatkan pendidikan yang bertujuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan infrastruktur sosial serta usaha lain bertepatan dengan mandat strategik KWSP.
"Dalam jangka panjang, kami berharap usaha ini menyumbang untuk membina masyarakat yang berdaya tahan terhadap cabaran ekonomi dan sosial selain memberikan pulangan baik kepada ahli kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, menurut Ahmad Zulqarnain, KWSP komited terhadap pembangunan syarikat berpotensi tinggi di Malaysia di samping menyelaraskan strategi dengan ekosistem perlindungan sosial yang inklusif.
Beliau berkata, pihaknya memainkan peranan penting di samping syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain dalam menyokong dan memajukan ekosistem di peringkat awal.
"KWSP melabur secara strategik dan menangani jurang kritikal di mana pihak kami boleh membantu memacu pertumbuhan syarikat-syarikat ini serta meraih pulangan larasan risiko yang baik.
"Ia adalah usaha KWSP untuk mengukuhkan perlindungan sosial melalui pelaburan strategik dalam syarikat bersaiz sederhana yang berpotensi di Malaysia.
"KWSP meningkatkan pelaburannya dalam syarikat peringkat pertengahan yang selaras dengan misi untuk mencipta nilai jangka panjang bagi ahli serta menyediakan modal kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengasas dan Pengerusi Bersama Gobi Partners, Thomas G Tsao berkata, tumpuan strategik kumpulan terbabit menekankan dedikasinya untuk memacu inovasi dan mencipta impak sosio-ekonomi yang berkekalan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28