KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneruskan siasatan berhubung isu penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ALLAH kerana perkara berkenaan telah menimbulkan kegusaran awam.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, semua pihak yang terlibat bakal dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melanggar peraturan selepas siasatan selesai dilakukan.
"Walaupun permohonan maaf telah pun dikemukakan oleh pengendali kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan vendor-vendor terlibat, KDN akan meneruskan siasatan bagi menangani isu ini yang telah mencetuskan kegemparan dan kegusaran awam.
"Jika sabit kesalahan, pihak-pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau pun penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung tindakan yang akan diambil oleh KDN bagi menoktahkan isu penjualan stoking terbabit dan adakah akan membuat pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Sebelum ini, tular di media sosial tentang kewujudan stoking tertera kalimah ALLAH yang dijual secara terbuka di rangkaian runcit tersebut.
Bagaimanapun, KK Mart kemudiannya tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking di satu daripada cawangannya.
Pihaknya memberitahu, penjualan stoking terbabit di beberapa kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) adalah produk konsainan oleh pihak vendor.
Pengasas KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerja pihaknya.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, pihaknya sentiasa memandang serius isu berkenaan dan telah mengambil beberapa langkah segera bagi menanganinya.
"Tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan melaksanakan pemeriksaan di semua premis-premis KK Mart di seluruh negara dan hasil pemeriksaan yang kita buat didapati mereka telah menarik balik semua stoking-stoking berkenaan di semua cawangan-cawangannya di seluruh negara.
"Namun demikian siasatan lanjut kita laksanakan terhadap pengurusan dan juga vendor-vendor yang terlibat bagi pastikan stoking ini tidak lagi berada di pasaran dalam negara ini," katanya.
Jelasnya lagi setakat hari ini, polis juga telah menerima sebanyak 36 laporan berhubung ketidakpuasan hati berhubung jualan stoking tersebut.
"Sebanyak satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan bertarikh 14 Mac 2024 bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233, Akta Komunikasi Multimedia 1998, jadi kita sentiasa memantau perkara ini bagi memastikan ia tidak berlaku lagi," katanya.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar menjangkakan bahawa pihaknya akan membentangkan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 itu di Dewan Rakyat pada tahun ini.
"KDN dalam tindakan untuk meminda akta ini bagi memastikan ia memenuhi keperluan dan kehendak semasa terutama sekali berkaitan dengan jenayah dalam talian dan sebagainya.
"Begitu juga pada 11 Mac tahun ini, kita telah adakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak bagi mengemas kini dan memastikan pindaan ini dapat dilaksanakan dengan baik dan kita jangka untuk dibentang dalam sidang dewan tahun ini," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28