MOSCOW - Presiden Vladimir Putin menyifatkan kematian pemimpin pembangkang yang dipenjarakan, Aleksei Navalny sebagai 'kejadian malang' dan mendakwa beliau telah bersedia membebaskannya sebagai pertukaran dengan tahanan Rusia yang ditahan di negara barat, lapor New York Times.
Dalam sidang media selepas Pilihan Raya Presiden Rusia, Putin berkata bahawa 'beberapa orang' telah memberitahunya sebelum kematian Navalny supaya menukar pemimpin itu dengan beberapa orang tahanan di negara barat.
"Saya berkata saya setuju, tetapi dengan satu syarat kami akan menukarnya dan pastikan dia tidak kembali dan biarkan dia tinggal di sana.
"Tetapi ini telah berlaku. Itulah kehidupan," katanya.
Komen itu diberikan ketika menjawab soalan daripada NBC News semasa buat pertama kali Putin memberikan penjelasan mengenai kematian Navalny di penjara terpencil IK-3 di Bulatan Artik, pada Februari lalu.
Pembantu kepada Navalny menegaskan ia berlaku selepas pemimpin pembangkang itu hampir dibebaskan dalam pertukaran tahanan.
Pegawai dari dari negara barat memberitahu The New York Times pada masa itu bahawa 'perbincangan awal' mengenai kemungkinan pertukaran sedemikian telah dijalankan pihak berkuasa Rusia sebelum melaporkan Navalny meninggal dunia pada 16 Februari lalu.
Pegawai barat itu berkata bahawa perbincangan itu melibatkan pertukaran Navalny bersama dua warga Amerika Syarikat yang dipenjarakan di Rusia, Evan Gershkovich, seorang wartawan The Wall Street Journal dan Paul Whelan, seorang eksekutif keselamatan korporat dan bekas anggota Marin.
"Ia adalah satu peristiwa yang menyedihkan," kata Putin sambil menempelak bahawa kes seumpama ini pernah berlaku di AS.
Navalny hampir menemui ajal pada tahun 2020 selepas diracun oleh agen saraf gred tentera semasa dalam perjalanan ke Siberia.
Pegawai barat menyifatkan kes racun itu sebagai percubaan pembunuhan oleh negara Rusia. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!