SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk membatalkan saman pemula difailkan seorang wanita bagi mengisytiharkannya sebagai bukan beragama Islam.
Keputusan itu dibuat Hakim, Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas meneliti notis permohonan dan afidavit dibuat oleh MAINS yang merupakan responden kedua berhubung perkara itu.
"Setelah mahkamah meneliti notis permohonan responden kedua, afidavit serta hujahan bertulis yang difailkan, mahkamah memutuskan untuk membenarkan notis permohonan responden kedua.
"Jadi saman pemula (difailkan wanita) itu dibatalkan," katanya.
Pada 23 Mac tahun lalu, wanita berusia 46 tahun itu memfailkan saman pemula dengan menamakan tiga responden iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), MAINS dan kerajaan Malaysia.
Peguamnya, S Karthigesan yang ditemui di luar mahkamah berkata, permohonan itu dibuat ahli perniagaan terbabit kerana dia dilahirkan sebagai seorang Hindu manakala ibu bapanya juga merupakan beragama Hindu.
"Namun status agamanya ditukar kepada Islam oleh bapanya ketika dia berusia empat tahun.
"Dia juga tidak pernah mengucap kalimah syahadah dan tidak pernah mengamalkan ajaran agama itu sepanjang hidupnya," katanya.
Sehubungan itu katanya, anak guamnya kemungkinan akan membuat rayuan berhubung keputusan berkenaan.
Sementara itu barisan peguam mewakili MAINS diketuai, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang ditemui di luar mahkamah memberitahu, MAINS membuat permohonan kepada mahkamah untuk membatalkan saman pemula oleh plantif pada Jun tahun lalu.
"Antara lain pemohon adalah seorang beragama Islam dan sekiranya mahu memohon keluar daripada agama Islam dia perlulah memohon di Mahkamah Syariah bukannya di Mahkamah Sivil," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!