JOHOR BAHRU - Perbuatan menjual stoking tertera perkataan ALLAH adalah satu kesalahan yang amat melukakan hati orang Islam dan disifatkan tidak bertamadun.
Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, perbuatan menghina Islam seperti itu sering berlaku yang disusuli dengan permohonan maaf, namun kemudian senyap sebelum kesalahan sama berulang lagi selepas itu.
"Umat Islam di Malaysia dikejutkan dengan berita yang tular 'stoking tertulis nama ALLAH'.
"Isu seumpama ini telah kerap kali berlaku yang mana apabila ia tular sahaja akan diikuti permohonan maaf.
"Polemik ini pastinya akan melukakan hati orang-orang yang beriman kerana ia melibatkan nama ALLAH SWT, lebih-lebih lagi ia berlaku pada bulan Ramadan yang mulia, bulan yang diberkati.
"Ini secara tidak langsung menunjukkan pihak terlibat tidak prihatin terhadap barangan atau produk yang ingin dipasarkan.
"Seharusnya sebelum ia dipasarkan perlulah diteliti terlebih dahulu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Sabtu, pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) menjelaskan bahawa penjualan stoking berjenama MiranoSock yang tertera kalimah ALLAH SWT di beberapa kedai rangkaian serbaneka KK Super Mart adalah produk konsainan oleh pihak vendor.
Pengasasnya, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerja pihaknya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap 800 cawangan KK Super Mart di seluruh negara mendapati hanya tiga premis ada stoking terbabit dan 14 pasang tertera kalimah ALLAH.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, sikap pihak terbabit yang mengakui kesilapan serta memohon maaf secara terbuka adalah dipuji tetapi sikap kurang teliti dan kecuaian amatlah dikesali dan tidak boleh dibiarkan.
"Pas Johor mendesak pihak berwajib agar sentiasa awas dan mengambil tindakan tegas dengan isu-isu sebegini kerana ia melibatkan sensitiviti agama yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.
"Ia suatu perbuatan yang jauh menyimpang daripada tamadun dan kemanusiaan," tambahnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28