SHAH ALAM – McDonald's Malaysia yang memfailkan saman terhadap Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia susulan tindakan rakyat Malaysia memboikot makanan segera yang dikaitkan dengan Israel itu, berbincang untuk menyelesaikan kes melalui proses mediasi di Kompleks Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Isnin.
Mediasi adalah alternatif penyelesaian kes secara baik, tanpa melalui proses perbicaraan penuh dengan mediator terdiri daripada hakim dan pegawai kehakiman berpengalaman.
Peguam, Datuk M Reza Hassan yang mewakili BDS Malaysia berkata, sesi mediasi pertama selama dua jam, berlangsung dengan lancar di hadapan Hakim mediasi, Zaman Mohd Noor.
Bagaimanapun, beliau berkata, semua pihak tidak dapat mendedahkan maklumat perbincangan mahupun terma persetujuan secara terperinci.
"Kedua-dua pihak itu belum mencapai penyelesaian namun, ia menunjukkan perkembangan yang positif yang mana satu lagi sesi mediasi akan dijalankan pada 30 April depan,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Pada 30 Disember tahun lalu, Sinar Harian melaporkan, McDonald's Malaysia memfailkan saman sivil terhadap BDS Malaysia.
Pemilik francais McDonald's di Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GAR) menuntut jumlah kerugian hasil RM3 juta, pampasan untuk pekerja yang diberhentikan (RM1.5 juta) dan tamat tempoh bahan (RM1.5 juta).
Menerusi pernyataan tuntutannya, GAR berkata, syarikat itu dimiliki 100 peratus oleh orang Islam dan 55 peratus pelanggannya merupakan Muslim.
McDonald's Malaysia menegaskan ia tidak menyalurkan sebarang jualan, keuntungan, royalti, atau fi francais daripada operasi restoran untuk menyokong mana-mana perjuangan politik atau konflik.
Pihak itu menyatakan dengan konsisten bahawa McDonald's Malaysia tidak menyokong dan tidak membenarkan konflik semasa di Timur Tengah dan seperti semua rakyat Malaysia, malah bersimpati dengan mangsa yang tidak bersalah di Gaza.
Mereka turut menyumbangkan RM1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin yang dilancarkan oleh kerajaan dan akan terus berdoa agar konflik berakhir dan keamanan berterusan di Gaza.
Sementara itu, BDS Malaysia berkata, kumpulan itu tidak berkempen untuk menentang rantaian makanan segera itu, sebaliknya hanya menyokong boikot yang dimulakan oleh rakyat Malaysia sendiri.
Sejak jam 8 pagi tadi, lebih 30 orang aktivis berhimpun di luar mahkamah bagi menunjukkan sokongan kepada gerakan boikot tersebut.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28