Peniaga dijel 15 hari, denda RM3,500 halang tugas penjawat awam

Iklan
Tertuduh, Mohd Amirul Azmir Md Akhir, 31, diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret pada Isnin.

ALOR SETAR - Seorang peniaga dipenjara 15 hari dan denda RM3,500 selepas mengaku bersalah menghalang penjawat awam yang sedang melaksanakan tugas di kawasan Dataran Medan Bandar di sini pada malam Khamis.

Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif juga mengarahkan tertuduh, Mohd Amirul Azmir Md Akhir, 31, dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hukuman tersebut diputuskan selepas mengambil kira hujah pihak pendakwa raya dan peguam tertuduh dengan melihat kepada faktor seperti kepentingan awam dan kadar keseriusan pertuduhan yang menghalang penjawat awam.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Majistret, di sini pada Isnin, tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam iaitu seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) daripada menjalankan kewajibannya menyebabkan pergelutan berlaku dengan menendang dan mencampakkan bangku kecil kepadanya.

Iklan

Kesalahan didakwa dilakukan di Kawasan Dataran Alor Setar, Lebuhraya Darul Aman pada jam 11.38 malam, Khamis lalu.

Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Iklan

Sebelum hukuman diputuskan, Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien memohon mahkamah memberikan hukuman penjara kepada tertuduh untuk dijadikan sebagai pengajaran kepada awam.

Menurutnya, tertuduh telah melakukan provokasi dengan menolak anggota MBAS hingga mencetus kekecohan dan tidak menghormati penjawat awam walaupun sudah ada larangan berniaga di kawasan tersebut sebelum ini.

Sementara itu, peguam, Zuriyah Mhd Nordin memohon mahkamah memberikan hukuman minimum memandangkan tertuduh memberikan kerjasama, merupakan kesalahan pertama dan insaf dengan perbuatannya itu.

Tertuduh yang masih bujang juga perlu menjaga ibunya yang menghidap penyakit sakit jantung dan kencing manis selain memperolehi pendapatan tidak tetap.

Pada Sabtu, media melaporkan polis menahan dua individu kerana terlibat dalam insiden pergaduhan dan disyaki menghalang penjawat awam yang sedang melaksanakan tugas di kawasan Dataran Medan Bandar di Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam kejadian jam 11.38 malam itu, seorang pembantu penguat kuasa MBAS sedang membuat operasi sitaan peniaga di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kejadian tular di media sosial itu memperlihatkan dua individu terlibat dilihat menjerit-jerit terhadap penguat kuasa dan mencabar mereka untuk membuka uniform selain mengeluarkan perkataan kesat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28