KUALA LUMPUR - Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diseru supaya merebut peluang insentif diskaun bayaran balik pinjaman yang berakhir pada 31 Mac ini.
PTPTN dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan bagi tempoh 14 Oktober 2023 hingga 31 Januari lepas, lebih 394,000 peminjam menikmati insentif diskaun bayaran balik dengan jumlah diskaun diberikan sebanyak RM57.78 juta melibatkan kutipan bayaran balik yang layak diskaun berjumlah RM442.09 juta.
"Melalui pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lepas kerajaan bersetuju pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman sehingga 15 peratus bermula 14 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024 meliputi tiga kategori.
"Tiga kategori itu termasuk diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN yang memberikan manfaat kepada peminjam PTPTN.
"Komitmen peminjam yang membuat bayaran balik amatlah dihargai demi kelangsungan dana pinjaman pendidikan kepada anak-anak generasi akan datang sekali gus memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan.
"Dengan pelbagai usaha dan pendekatan mesra dilaksanakan oleh PTPTN, diharapkan peminjam mengambil peluang untuk membuat bayaran balik dan tampil berbincang dengan PTPTN sekiranya terdapat sebarang kemusykilan kerana PTPTN sedia membantu,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, PTPTN juga menyediakan pelbagai saluran bayaran balik bagi memudahkan peminjam membuat bayaran balik termasuk melalui aplikasi myPTPTN yang lebih mudah, cepat dan selamat.
Untuk sebarang pertanyaan, peminjam boleh menghubungi PTPTN untuk maklumat lanjut menerusi Careline PTPTN di 03-2193 3000, Live Chat melalui www.ptptn.gov.my, E-Aduan https://eaduan.ptptn.gov.my/, eksekutif jualan PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn atau media sosial rasmi PTPTN. - Bernama