PUTRAJAYA - Kementerian Ekonomi mengambil langkah lebih efektif dengan membuka kaunter fizikal pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) mengikut permintaan di kawasan setempat berbanding di pejabat agensi terlibat.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, inisiatif itu jauh lebih berkesan kerana penduduk setempat tidak perlu berkunjung ke kaunter fizikal yang mungkin terletak jauh dari kediaman.
"Walaupun pada awalnya perancangan kita untuk adakan kaunter tetap di lokasi tertentu, namun kita dapati lebih baik buka kaunter di lokaliti daripada mengharapkan orang ramai datang ke UTC (Pusat Transformasi Bandar) atau pejabat DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia).
"Lebih baik kita tugaskan kakitangan untuk pergi (buka kaunter) di lapangan supaya mudah penduduk setempat daftar.
"Pada Januari dan Febuari, kita dapat banyak permintaan daripada persatuan penduduk, wakil rakyat dan NGO (badan bukan kerajaan) supaya pasukan DOSM buka kaunter di kawasan mereka atau sepanjang program berlangsung," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.
Sebelum ini sebuah portal dalam talian mendakwa, hanya segelintir kaunter yang disenaraikan di laman web rasmi PADU dibuka sekurang-kurangnya sehari pada bulan Mac termasuk kaunter yang dibuka di UTC, pejabat daerah, Pusat Ekonomi Digital (Pedi), DOSM dan pusat terpilih di seluruh negara.
Menjelaskan perkara tersebut, Rafizi menegaskan, jadual setiap kaunter berbeza mengikut minggu selain bergantung kepada program dan tempahan yang dibuat.
"Jadi tidak benar (dakwa) kaunter ditutup seolah-olah pegawai tidak buat kerja. Hanya kita anggap lebih baik untuk tugaskan mereka untuk lebih efisien ke lapangan (terutama) pada Ramadan, kerana rutin berbeza.
"Lebih baik tugaskan kakitangan di tempat orang ramai daripada menunggu orang pergi ke kaunter atau pejabat kerajaan," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!