JOHOR BAHRU - Seramai 19 penumpang berdepan detik cemas selepas sebuah bas pekerja dan bas penumpang terlibat kemalangan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian pada jam 5.50 pagi itu berlaku di lot parkir laluan bas di BSI menghala ke Singapura.
"Kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila bas pekerja itu mengundur dari lot parkir dan terlanggar bas penumpang (bas henti-henti) yang sedang bergerak lurus.
"Bas pekerja berkenaan membawa tujuh penumpang manakala bas penumpang tersebut pula sedang membawa 12 penumpang.
"Seorang penumpang wanita bas penumpang berusia 28 tahun cedera ringan dan menerima rawatan di zon hijau Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan 112 LN 170/59 iaitu kesalahan mengundur.
"Polis memohon saksi awam yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Sarjan Norijan Sharkawi menerusi talian 013-2623176," katanya.
Sejak pagi Isnin, tular beberapa keping gambar berhubung insiden kemalangan dua buah bas berkenaan di Tambak Johor tersebut.
Akibat pelanggaran itu, beberapa bahagian bas rosak termasuk cermin bahagian sisi badan bas, tingkap dan pintu pecah serta beberapa penumpang mengalami kecederaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!