MELAKA - Melaka merekodkan statistik pendaftaran perceraian dan rujuk bagi orang Islam di negeri ini sebanyak 959 kes penceraian pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim berkata, angka itu sekali gus menunjukkan penurunan kes berbanding tahun sebelumnya yang telah mencatatkan sebanyak 1,036 kes.
Menurutnya, antara punca utama perceraian dalam kalangan masyarakat Islam disebabkan faktor ketidaksefahaman selain sifat mementingkan diri sendiri dan ego.
"Kita sedia maklum, perceraian adalah jalan terakhir yang diharuskan dalam Islam namun, kita turut dinasihatkan untuk berhati-hati dan cuba mengelak daripada sifat terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup program Seminar Keluarga Bahagia 'Membina Keluarga Ramadan di Auditorium Al-Azim, di Bukit Palah di sini, pada Isnin.
Tambahnya, menyeru kepada semua pihak agar saling memupuk sifat persefahaman antara ahli keluarga, sekaligus mengikis tabiat suka membesarkan perkara remeh yang boleh menimbulkan pertelingkahan.
Ujarnya, turut menyarankan orang ramai mengaplikasikan sikap saling bermaafan antara satu sama lain tanpa perlu menunggu 1 Syawal kerana amalan itu dituntut sebagai seorang muslim.
"Amalan ini boleh dilaksanakan setiap hari sebelum bertolak ke tempat kerja dan sebelum tidur," katanya lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28