Kaji semula had perolehan kerajaan bagi kontraktor G1

Iklan
Mohd Redzuan

ALOR GAJAH - Kementerian Pembangunan Usahawan berharap had perolehan yang ditetapkan untuk Kontraktor G1 atau Kelas F bagi perolehan kerajaan dikaji semula daripada RM200,000 pada masa ini kepada RM500,000.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, langkah itu selaras dengan peningkatan harga bahan binaan dan buruh sekali gus membantu kontraktor G1 lebih berdaya saing pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

"Cadangan ini telah dibincangkan dengan jemaah menteri sebelum ini dan harap ia dapat dipersetujui serta dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Alor Gajah Coop Run 2020, di Dataran Keris, di sini hari ini.

Mohd Redzuan berkata, kerajaan khususnya MED dan agensi di bawahnya terutamanya Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) menyediakan pelbagai ruang dan peluang dalam bentuk perolehan yang boleh direbut dan dimanfaatkan golongan kontraktor G1.

Iklan

Menurutnya, kursus percuma berkaitan bidang pembinaan turut disediakan bagi melatih dan meningkatkan keupayaan kontraktor G1 berdaftar yang kini mencecah jumlah 24,000 orang di seluruh negara.

"Kontraktor G1 tidak boleh duduk selesa dan hanya menunggu kontrak yang diberi tanpa usaha meningkatkan kepakaran serta kualiti kerja mereka," katanya.

Iklan

Beliau berkata, selain itu, kerajaan juga telah menubuhkan satu sekretariat khas yang dibentuk dalam kalangan badan profesional sektor pembinaan bagi memastikan keseimbangan dari aspek tawaran harga dan kompetensi golongan itu dapat dicapai.

Katanya, sekretariat itu juga berperanan memastikan golongan kontraktor G1 memenuhi keperluan skop kerja mengikut kontrak projek yang diperoleh. - Bernama