KPM perlu ambil kira kritikan ibu bapa, guru

Iklan
Empat inisiatif intervensi KPM perlu ambil kira kritikan ibu bapa, guru. (Gambar kecil: Anuar) Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Empat inisiatif intervensi bagi menangani isu keciciran pembelajaran dalam kalangan murid perlu mengambil kira keluhan, desakan dan kritikan berterusan terutamanya daripada ibu bapa serta guru sejak Kurikulum Semakan 2017 dilaksanakan.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, meskipun pengumuman inisiatif intervensi itu dilihat agak terlewat kerana sesi persekolahan sudah bermula minggu lalu, ia tetap perlu disambut baik semua pihak.

Iklan
Iklan

"Sepatutnya empat inisiatif intervensi ini telah lama dibuat, pelbagai pihak khususnya ibu bapa, guru-guru, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan termasuk ahli akademik dah lama utarakan tentang perlunya intervensi Kurikulum Semakan 2017 dilaksanakan segera.

"Antara isu utama dibangkitkan sejak 2017 adalah silibus terlalu padat dan tinggi serta pelaksanaan pentaksiran bilik darjah (PBD) yang bercelaru.

Iklan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini mengumumkan bakal memperkenalkan empat langkah menangani isu keciciran pembelajaran melalui Intervensi Kurikulum Murid Tahun Satu.

Empat langkah itu adalah Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan 2017) Edisi 3, Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi, Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) mesra ibu bapa serta Penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3.

Iklan

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, langkah terbabit diambil bagi menghargai pandangan dan maklum balas pihak berkepentingan termasuk ibu bapa yang merupakan sumber maklumat penting dalam pembangunan kurikulum.

Anuar yang juga Setiausaha Kluster Pendidikan dan Modal Insan daripada Majlis Profesor Negara turut memaklumkan, cadangan melakukan penjajaran kurikulum agar guru mempunyai ruang untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran adalah langkah tepat.

Tambah beliau, golongan pendidik boleh menggunakan pertimbangan profesional dalam melaksanakan kurikulum yang telah dijajarkan bersesuaian dengan tahap keupayaan dan prestasi murid masing-masing.

Menurutnya lagi, inisiatif pengesanan awal kemahiran literasi dan numerasi juga satu intervensi baik bagi memastikan tiada murid yang ‘terlepas pandang’ sehingga terus keciciran kemahiran 3M iaitu membaca, menulis serta mengira di peringkat sekolah menengah.

"Bersesuaian dengan inisiatif ini, dicadangkan supaya bilangan guru pemulihan ditambah dan ditingkatkan kemahiran agar setiap murid dapat dibantu menguasai 3M pada peringkat asas apabila tamat Tahun Satu sekolah rendah.

"Penambahbaikan PBD dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) supaya lebih mesra ibu bapa juga tepat kerana konsep PBD yang diamalkan sebelum ini didapati bercelaru, tidak konsisten dan sukar difahami sehingga terdapat rungutan.

"Keputusan KPM untuk mengembalikan sistem pemarkahan dan gred bagi pentaksiran UASA juga selari dengan desakan yang disampaikan oleh ibu bapa di dalam pelbagai sesi libat urus KPM,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28