Tiada kenaikan PSC, komponen bagi destinasi ASEAN diseragamkan

Iklan
Anthony menyampaikan ucapan pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Operasi dan Perjanjian Pajakan Tanah antara Kerajaan Malaysia dengan Malaysia Airports, pada Isnin. Foto Bernama

SEPANG - Kementerian Pengangkutan menegaskan tiada kenaikan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) sebaliknya komponen telah diseragamkan susulan pindaan kadar untuk destinasi perjalanan ASEAN.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengendali lapangan terbang juga memerlukan perolehan untuk menguruskan keseluruhan ekosistem lapangan terbang, membayar bil air dan elektrik serta gaji pekerja.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini ada satu kategori yang lebih rendah untuk ASEAN tetapi sekarang ini di negara-negara ASEAN juga adalah lapangan terbang antarabangsa, jadi diselaraskan kadarnya seperti mana-mana destinasi yang lain.

Beliau berkata, kos untuk menguruskan satu lapangan terbang sangat tinggi justeru, pengendali lapangan terbang memerlukan perolehan, dan PSC adalah antara perolehan paling utama bagi pihak pengendali.

Iklan

Mengenai jaminan yang pengendali lapangan terbang akan menambah baik kemudahan susulan pelarasan PSC, Anthony berkata, pengendali tertakluk kepada keperluan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan perlu memenuhi piawaiannya.

Pada 12 Mac lepas, Mavcom mengumumkan pindaan kepada PSC bagi Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1), bermula 1 Jun 2024 hingga 31 Disember 2026.

Iklan

Suruhanjaya itu memaklumkan bahawa kadar pindaan PSC baharu itu di antara RM7 dengan RM73 dikenakan kepada penumpang yang berlepas dan transfer dari Malaysia.

Kadar itu termasuk caj keselamatan iaitu caj bagi penyediaan perkhidmatan keselamatan di lapangan terbang, menurutnya.

Mavcom menjelaskan bahawa pihaknya mengekalkan PSC pelepasan domestik pada RM11 di semua lapangan terbang kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB).

Berdasarkan kadar PSC baharu, PSC ASEAN dan destinasi melangkau ASEAN telah digabungkan menjadi PSC antarabangsa tunggal berjumlah RM73 bagi Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan RM50 bagi Terminal 2 KLIA berserta lapangan terbang lain, tambah suruhanjaya itu.

Kadar PSC semasa ASEAN dan destinasi melangkau ASEAN masing-masing pada RM35 dan RM73. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28