Pindaan Akta Polis: Agong jadi Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM

Iklan
Pindaan kepada Akta Polis 1967 (Akta 344) akan melibatkan perubahan terhadap 10 Fasal antaranya membolehkan Yang di-Pertuan Agong menjadi Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Pindaan kepada Akta Polis 1967 (Akta 344) akan melibatkan perubahan terhadap 10 Fasal antaranya membolehkan Yang di-Pertuan Agong menjadi Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen pada Isnin, hal itu melibatkan pindaan terhadap Fasal 2 akta berkenaan dengan seksyen baharu 6A dimasukkan bagi tujuan terbabit.

Iklan
Iklan

Selain itu, Fasal 4 bertujuan meminda Seksyen 21 untuk mengadakan peruntukan bagi kewajipan pegawai polis melaksanakan tugas mengiring di mana-mana jalan awam dan mana-mana orang yang menggalang, menentang atau melanggar arahan polis boleh didenda sehingga RM10,000 serta penjara sehingga dua tahun berbanding hukuman RM200 dan dua bulan penjara sebelum ini.

Turut dipinda Fasal 6 yang membabitkan perubahan Seksyen 66 akta itu bagi membolehkan mana-mana majikan yang tidak mengambil semula mana-mana pegawai polis simpanan untuk bekerja boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 dan penjara setahun berbanding denda RM1,000 dan penjara enam bulan ketika ini.

Iklan

Pindaan itu turut memperuntuk mana-mana pegawai polis yang tidak hadir bertugas selama 14 hari secara berterusan tanpa sebab yang munasabah akan disifatkan telah membolos dan melakukan satu kesalahan dengan melibatkan pindaan pada Seskyen 86.

Jadual Pertama kepada akta itu juga memotong sebutan tentang Inspektor Kanan memandangkan jawatan itu tidak lagi digunakan dalam pangkat PDRM.

Iklan

Terdahulu, bacaan kali pertama pindaan itu dibentang di Dewan Rakyat oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah manakala bacaan kali kedua dan ketiga dijadual dibuat pada mesyuarat kali ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28