'Padi tak menjadi akibat panas melampau' - Pesawah
Iklan
Cuaca panas melampau yang melanda daerah Pokok Sena dipercayai antara sebab pesawah mengalami kemerosotan hasil padi antara 20 hingga 30 peratus berbanding musim lepas. - Gambar hiasan Foto Bernama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kesan fenomena cuaca panas ketika ini menjadikan pengeluaran padi tidak memberangsangkan dan berkurangan. Menurut beliau, hasil padi pada tahun ini dijangkakan pada kadar 62 peratus dan cuaca panas yang telah berlarutan sejak tiga tahun lalu menyebabkan pengeluaran tidak memberangsangkan. Mengulas lanjut, Mohamad berkata pihaknya akan terus berusaha memastikan pengeluaran padi di setiap kawasan tanaman seluruh negara dapat mencapai tahap 10 tan per hektar seperti yang dicapai di Sekinchan, Selangor dan Lat 1,000 di Perlis. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA *** Local Caption ***
POKOK SENA - Cuaca panas melampau yang melanda daerah Pokok Sena dipercayai antara sebab pesawah mengalami kemerosotan hasil padi antara 20 hingga 30 peratus berbanding musim lepas.
Mohd Farid Shafie, 38, dari Gulau di sini mendakwa dia yang mengusahakan lebih 30 hektar sawah turut terkesan dengan suhu panas sejak sebulan lepas dan paling tinggi baru-baru ini sehingga padi menjadi ringan dan kering.
Iklan
Iklan
"Padi jadi ringan, jadi hampa (kosong), suhu ekstrem sangat dan kita ingat panas biasa-biasa sampai ada yang dah buang air 20 hari sebelum mengerat (menuai). Tiba-tiba suhu panas sangat mengakibatkan pokok (padi) cepat kering dan buah padi kurang berisi beras.
"Bukan salah siapa pun, ada yang menjadi sampai tujuh dan lapan tan per hektar. Cumanya ada silap percaturan mengakibatkan bendang cepat kering sehingga pokok terbantut dan menjejaskan pokok padi yang tengah bunting ketika itu,” katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Isnin.
Iklan
"Tapi kami yakin, selagi ada jaminan daripada pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kata tiga empangan mencukupi untuk pengairan musim depan, kami tak risau sangatlah untuk tanaman semula nanti. Cuma kami kena lebih peka pada ramalan cuaca agar tak lepas (buang air dari petak sawah) air awal-awal dan ikut jadual penanaman yang ditetapkan MADA,” katanya.
Seorang lagi pesawah Jamil Abdullah, 44, berkata, Kedah memang memerlukan cuaca panas musim ini bagi menstabilkan tanah untuk rawatan tanah jerlus tapi bukanlah cuaca yang terlampau panas sehingga menjejaskan hasil petani dan situasi ini di luar jangkaan.
Iklan
Jamil yang mengusahakan lebih 35 hektar sawah juga terkesan apabila purata hasil diperoleh sekitar enam tan mektrik per hektar berbanding sebelum ini sebanyak tujuh tan metrik per hektar.
"Padi saya pun hasil tak padat, bila panas kuat, padi menjadi kering dan tak ada isi berbanding musim lepas. Dulu biasa dapat tujuh tan metrik lebih, tapi sekarang ini dalam enam tan metrik per hektar saja.
"Bukan sahaja pokok jadi kering malah sawah ditimpa penyakit seperti bena perang dan serangan makhluk perosak lain, tapi masih dapat dikawal,” katanya menganggarkan 30 peratus hasil tuaian terjejas akibat cuaca panas ini.
Petani dari Kampung Balik Bukit di sini Aziz Mat, 82, berkata, dia yang mengusahakan kira-kira lapan hektar sawah turut kehilangan hasil kerana hanya lima hektar sawahnya mengeluarkan hasil susulan kemarau.
"Kerugian saya anggarkan dalam RM20,000 sebab banyak petak (sawah) tak ada isi, jadi hampa, panas sangat sampai tangkal kecut dan patah, kira dalam sembilan relong (tiga hektar) saya tak dapat apa-apa hasil seperti yang lain dapat.
"Air dan segala infrastruktur semua cukup... yang menjadi punca ialah cuaca panas melampau, bukan kelemahan siapa-siapa," katanya yang kini hanya menunggu untuk tanaman semula dijangka bermula bulan depan.
Kawasan Pokok Sena di Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba setakat 4 petang tadi.
Semakan di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Pokok Sena mencatatkan 37 darjah Celsius iaitu pada tahap gelombang haba iaitu merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Pengalaman berdepan situasi cemas di tengah laut termasuk menyelamatkan beberapa mangsa tragedi bot karam baru-baru ini membuatkan Pencipta kandungan atau YouTuber dikenali sebagai Mohd Khushairi Mohd Zuki lebih menitik beratkan soal keselamatan setiap kali turun memancing, lapor wartawan Sinar Harian, Mohd Iskandar Othman.
Berkongsi pengalaman bersama rakan menyelamatkan empat nelayan warga Indonesia yang terapung selama empat hari di tengah laut berhampiran Pulau Jarak pada Rabu lalu, Mohd Khushairi berkata, mereka bernasib baik kerana dapat berpaut pada tong ikan dan botol yang diikat pada badan masing-masing.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/698041/edisi/utara/youtuber-kongsi-pengalaman-selamatkan-empat-mangsa-bot-karam