KKM tidak halang usaha KPKT bina kawasan merokok

Iklan
Dr Dzulkefly (tengah) beramah mesra dengan penderma darah, Muhammad Aizul pada program Kempen Derma Darah SK-STF 73 di Surau Al-Ikhlasiah, Keramat Jaya, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menghalang usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang akan memberi peruntukan khas sebanyak RM1 juta pada 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk pembinaan kawasan khas merokok terutamanya di premis-premis makanan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha itu sebaliknya dilihat sedikit sebanyak membantu pihak KKM dalam memberi kesedaran kepada perokok untuk mematuhi tempat-tempat yang telah diwartakan sebagai zon larangan merokok termasuk di premis makanan.

Iklan
Iklan

"Kerajaan dalam apa juga isu yang ditangani ketika ini sentiasa mengambil pendekatan dengan melibatkan pembabitan semua pihak khususnya agensi yang berkaitan.

"Jadi, bila kita buat larangan merokok di tempat awam dan premis makanan, maka pihak PBT di bawah KPKT turut menolong kita dalam menjalankan penguatkuasaan,” katanya selepas merasmikan Kempen Derma Darah SK-STF 73 di Surau Al-Ikhlasiah, Keramat Jaya, Kampung Datuk Keramat di sini.

Iklan

Beliau berkata, KKM tiada masalah sekiranya kawasan merokok disediakan kepada perokok kerana pihaknya tiada keupayaan untuk menyediakan kemudahan tersebut.

"Sekurang-kurangnya ia dapat membantu kami dalam mempertingkatkan usaha untuk mencapai udara yang bersih dan bebas rokok khususnya di tempat-tempat makan awam.

Iklan

"Kita sebenarnya tidak mahu menyusahkan perokok tetapi mahu mereka juga memahami mengapa larangan tersebut dikuatkuasakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkifli berkata, pihaknya masih dalam perbincangan bagi mengemukakan garis panduan kawasan khas merokok kepada KPKT dan pembentangannya akan dilakukan selewat-lewatnya Mac depan kepada Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT).