Rangka kerja dasar sumber manusia negara diumum Mei ini

Iklan
Steven Sim bercakap pada sidang media selepas sesi town hall Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara 2024-2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara 2024-2030 dijangka siap dan diumumkan pada Mei ini, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk menangani kesenjangan yang wujud dalam dasar sumber manusia sedia ada justeru Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi pelbagai sesi libat urus sedang mendapatkan input daripada pihak berkepentingan untuk membangunkan rangka kerja lengkap.

Iklan
Iklan

Bercakap dalam sidang media selepas sesi libat urus mega mengenai rangka kerja itu hari ini, Sim berkata antara inti pati disentuh termasuk isu pemerkasaan wanita dalam pasaran kerja, agenda masyarakat menua dan kaedah menembusi pasaran kerja baharu antaranya industri hijau, digital dan kecerdasan pintar (AI).

"Semua ini mungkin ada kesenjangan atau gap dalam dokumen dasar pada masa kini, (jadi) kita ingin lihat atau selesaikan menerusi rangka kerja ini,” katanya.

Iklan

Sesi libat urus berkenaan dihadiri lebih daripada 1,000 pihak berkepentingan termasuk sektor awam, swasta, pihak majikan, wakil kesatuan kerja dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili golongan belia dan orang kurang upaya.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Iklan

Menurut Steven, kementerian itu juga mengalu-alukan input daripada rakyat Malaysia bagi membangunkan rangka kerja berkenaan yang boleh dimuat naik menerusi portal maklum balas di bawah KESUMA bermula hari ini hingga 18 April.

"Selepas 18 April, kementerian akan kumpulkan semua dapatan dan maklum balas serta dipertimbangkan...yang mana dilihat sesuai akan dimasukkan dalam Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara,” katanya.

Ketika sesi libat urus berkenaan, beliau berkata terdapat pelbagai perkara diutarakan oleh pihak berkepentingan contohnya wakil majikan mahu kos perniagaan lebih kompetitif dan dapat mengurangkan proses birokrasi dan sebagainya.

"Manakala di pihak sektor kesihatan, mereka ingin melihat kepada kebajikan pekerja yang lebih baik, gaji lebih baik ataupun persekitaran suasana tempat kerja lebih sesuai dan di peringkat NGO pula kita mendapat maklum balas tentang pengiktirafan terhadap ekonomi ihsan,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28