KUALA TERENGGANU - Menu perut bulat bakar yang diolah daripada perut lembu antara hidangan yang menjadi tumpuan pengunjung di Bazar Ramadan Dataran Shahbandar di sini.
Menurut pekerja sebuah restoran, Ruzaizi Mohd Zaid, keenakan dan keunikan rasa hidangan itu menyebabkan gerai tersebut tidak lekang daripada dikunjungi pelanggan yang ingin mendapatkannya untuk dijadikan juadah berbuka puasa.
Katanya, sebanyak 100 kilogram perut bulat akan dibakar di bazar Ramadan itu pada setiap hari bagi memenuhi permintaan pembeli.
"Gerai jualan ini dibuka seawal jam 3.30 petang dan waktu itu saya akan mula membakar perut bulat supaya ia dapat disediakan terus kepada pelangan.
"Hidangan ini juga akan disediakan panas-panas kepada pelanggan yang sedia menunggu untuk menikmatinya ketika berbuka puasa," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.
Ruzaizi berkata, kebanyakan pembeli yang datang ke situ teruja melihat kaedah penyediaan juadah tersebut kerana ia jarang didapati di tempat lain.
"Kebanyakan pembeli terutama kanak-kanak dan pelancong daripada luar negara memang akan teruja apabila melihat proses pembakaran perut bulat ini.
"Ada yang ambil gambar dan rakam video untuk dikongsikan di media sosial masing-masing kerana menu perut bulat bakar memang unik dan jarang didapati.
"Sebab itulah ramai juga yang pertama kali mencuba perut bulat bakar ini pada bulan Ramadan dan datang semula beberapa hari selepas itu kerana terpikat dengan keenakannya," ujarnya.
Menurut Ruzaizi, perut bulat bakar itu dijual pada harga RM15 untuk setiap 100 gram bersama sos sambal hijau ala Thai sebagai pelengkap hidangan.
Selain juadah tersebut, restoran itu turut menyediakan lebih 40 jenis air balang dan 'lamb shank' sebagai menu istimewa yang boleh dinikmati pada Ramadan kali ini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28