Penangan 12 kerabu warisan

Iklan
Rohaida menunjukkan kerabu kaki ayam yang menjadi antara pilihan utama pelanggan.

IPOH - Gerai belum dibuka tetapi sudah ramai yang beratur menunggu.

Itulah penangan 12 jenis kerabu warisan hasil air tangan Rohaida Mustafa, 53, yang dijual di Bazar Ramadan Medan Gopeng di sini.

Iklan
Iklan

Lebih istimewa, kesemua 12 jenis kerabu yang resipinya diwarisi daripada arwah ibu itu hanya boleh didapati setahun sekali iaitu khusus dijual sepanjang Ramadan.

Aneka kerabu yang disediakan ialah kerabu jantung pisang, pegaga, mangga, selom, bayam brazil, kacang botol dan kerabu som tam betik.

Aneka 12 kerabu yang dijual Rohaida di Bazar Ramadan Medan Gopeng mendapat sambutan menggalakkan hinggakan pengunjung sanggup beratur sementara menunggu jualan bermula.

Iklan

Turut dijual, kerabu pucuk paku tauge perut, pucuk paku tauge kerang, kerabu kaki ayam, acar buah dan pecal.

Rohaida mengakui, dia sengaja memilih Ramadan untuk menjual 12 jenis kerabu itu bagi memberi lebih rasa nostalgia kepada pengunjung.

Iklan

Menurutnya, melihat aneka kerabu yang tersedia, pengunjung bukan sahaja kecur air liur, malah rambang mata untuk memilih sebagai pelengkap berbuka puasa.

"Boleh dikatakan pembeli yang datang adalah pelanggan sama seperti tahun-tahun sebelumnya, kebiasaannya tak sampai dua jam, jualan sudah licin,” katanya kepada Sinar Harian.

Ibu kepada dua anak itu berkata, kerabu memang sering dijadikan hidangan pembuka selera atau sampingan ketika menikmati juadah utama.

Katanya, rasa masam dan pedas selain disediakan secara segar serta mentah membuatkan selera seseorang bertambah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpuasa.

"Paling laris dan menjadi pilihan pembeli sudah tentulah kerabu pucuk paku tauge perut, pucuk paku tauge kerang dan kerabu kaki ayam.

"Mungkin kerana kerabu ini agak sukar untuk diperoleh pada hari-hari biasa,” katanya.

Beliau berkata, penyediaan kerabu tidak semudah disangka kerana perlu setiap bahan yang digunakan perlu segar.

Malah, bahan-bahan asasnya pula seperti hirisan bawang merah, cili api, asam limau, kerisik dan belacan perlu cukup bagi menjamin kualiti dan rasa yang enak.

"Untuk menyediakan kerabu ini, saya gunakan lebih 3kg bawang setiap hari selain bahan lain, 3kg pucuk paku, 2kg daun pegaga dan 6kg kaki ayam.

"Setiap pagi saya akan ke Pasar Borong Menglembu untuk mendapatkan keperluan ini. Ada juga bahan-bahan saya dapatkan terus daripada penduduk kampung,” katanya.

Meskipun harga bahan mentah naik, Rohaida tetap mengekalkan harga jualan kerabunya iaitu antara RM5 hingga RM10 dan dia masih mampu meraih jualan hingga RM1,200 sehari.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28