Pemilik restoran diacu pistol sebelum dirompak RM300,000

Iklan
Antara barangan yang dirampas susulan tangkapan ke atas tiga suspek wanita berkaitan kejadian rompakan pada Jumaat.

AMPANG - Seorang pemilik restoran menempuh detik cemas apabila bukan sahaja diacu pistol dan disembur serbuk lada malah wang berjumlah RM300,000 miliknya dirompak sekumpulan lelaki berdekatan sebuah pusat beli-belah di Taman Melawati pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika mangsa bersama rakannya berada di kafe dekat pusat beli-belah berkenaan untuk urusan jual beli jongkong emas.

Iklan
Iklan

"Siasatan mendapati mangsa mulanya berjumpa dengan dua individu iaitu seorang lelaki dan wanita warga tempatan sebelum diminta menaiki sebuah kereta jenis Proton Gen 2 untuk mengambil jongkong emas berkenaan.

"Mangsa dan rakan kemudian dibawa mengelilingi sekitar pusat beli-belah tersebut sebelum kenderaan yang dinaiki berhenti di tepi jalan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

Katanya, tiba-tiba empat lelaki datang sebelum salah seorang suspek bertindak mengacukan pistol di kepala mangsa.

"Suspek turut menyembur serbuk lada ke arah mata mangsa dan merampas beg yang mengandungi wang tunai berjumlah RM300,000.

Iklan

"Kesemua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta lain sejurus selepas kejadian," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan membawa kepada tangkapan tiga wanita tempatan pada Jumaat dan Sabtu.

"Suspek pertama diberkas di sekitar Taman Melawati jam 7.15 malam pada Jumaat bagi siasatan lanjut.

"Dua lagi suspek diberkas pada Sabtu menerusi serbuan di sebuah unit kondominium dekat Jalan Ampang," katanya.

Mohd Azam berkata, tiga suspek terlibat direman untuk siasatan lanjut berhubung kes terbabit.

"Semakan mendapati salah seorang suspek memiliki empat rekod lampau selain positif dadah menerusi saringan air kencing yang dijalankan.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!