Malaysia terus terajui prestasi rangkaian 5G di Asia Tenggara - Ookla

Iklan
Malaysia terus mendahului di Asia Tenggara dari segi prestasi rangkaian 5G.

KUALA LUMPUR - Malaysia terus mendahului di Asia Tenggara dari segi prestasi rangkaian 5G, dengan kelajuan muat turun median 5G negara berada pada paras 451.79 megabait sesaat (Mbps), lebih tinggi daripada kelajuan muat turun Singapura, Thailand dan Filipina, menurut laporan Ookla's Speedtest Intelligence.

Ookla, peneraju global dalam perisikan ketersambungan berkata, kelajuan muat turun median 5G Singapura mencapai 329.73 Mbps, Thailand pada 129.40 Mbps dan Filipina 125.14 Mbps.

Iklan
Iklan

Laporan itu menjelaskan rangkaian 5G Malaysia mencatatkan skor konsistensi tertinggi di seluruh dunia untuk suku keempat 2023 (S4 2023) pada 97.3 peratus.

"Hasilnya menunjukkan bahawa 97.3 peratus sampel Speedtest Intelligence pada rangkaian 5G Malaysia melebihi ambang ketekalan, yang kini ditetapkan pada kelajuan muat turun minimum 25 Mbps dan kelajuan muat naik minimum 3 Mbps," katanya dalam laporan S4 2023 Speedtest Intelligence.

Iklan

Sebagai perbandingan, negara teratas lain seperti Macedonia Utara serta Emiriyah Arab Bersatu, melaporkan skor konsistensi yang lebih rendah, masing-masing sebanyak 94.1 peratus dan 93.9 peratus.

Dari segi ketersediaan 5G, Ookla, yang mengkhusus dalam ujian kelajuan internet dan analisis, berkata, ketersediaan 5G di Malaysia telah meningkat kepada 27.0 peratus menjelang S4 2023 berbanding hanya 21.0 peratus pada S1.

Iklan

Malaysia telah menerima pakai pendekatan untuk pelancaran 5Gnya dengan melaksanakan model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) melalui pembentukan Digital Nasional Bhd (DNB) pada 2021.

"Sejak pelancaran lebih dua tahun lalu, rangkaian 5G Malaysia secara konsisten berprestasi baik, menjadikannya salah satu rangkaian 5G berprestasi paling cemerlang di dunia," katanya.

Laporan itu juga menyatakan bahawa semua negeri di Malaysia telah mengalami sekurang-kurangnya 1.45 kali peningkatan dalam keseluruhan kelajuan mudah alih mereka merentas semua teknologi.

"Bandar pentadbiran Putrajaya muncul sebagai mempunyai kelajuan muat turun median mudah alih terpantas di negara ini pada 190.86 Mbps, peningkatan lebih daripada 2.5 kali ganda berbanding S4 2022 iaitu pada 61.24 Mbps," katanya.

Bagaimanapun, di sebalik prestasi tersebut, Malaysia masih ketinggalan berbanding negara jirannya, seperti Singapura serta Thailand, yang masing-masing mempunyai 53.8 peratus dan 45.5 peratus ketersediaan 5G, lebih tinggi daripada Filipina pada 26.2 peratus, katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!