SEREMBAN - Pemuda UMNO menegaskan mereka bukannya mahu menjadi juara apabila lantang bersuara terutama membabitkan isu kaum, agama dan raja (3R) sebaliknya mahu membawa suara rakyat.
Ketuanya, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, mereka tidak boleh berkompromi dalam isu berkenaan dan menjadi prinsip UMNO untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.
"Itu konsisten yang kita bawa dari awal sehingga hari ini dan kita (Pemuda UMNO) bukannya nak jadi juara, tapi kita nak bawa suara rakyat kerana rakyat di bawah ini mengharapkan pemimpin cakap mewakili mereka.
"Berbanding pemimpin lain mungkin mereka rasa ada kekangan. Tapi bagi pemuda UMNO, kita tiada kekangan untuk bawa apa sekali pun selagi ia adalah suara rakyat," katanya ditemui selepas majlis Berbuka Puasa Pemuda UMNO Negeri Sembilan di sini pada Isnin.
Berkenaan dakwaan kelantangannya boleh menjejaskan hubungan UMNO dengan parti lain dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, Akmal berkata, isu itu tidak timbul kerana masing-masing sudah bersetuju untuk tidak mengingkari prinsip UMNO.
Malah katanya, tindakan sama akan turut dilakukan pihaknya sekiranya ada mana-mana individu dalam parti Kerajaan Perpaduan yang didapati membuatkan rakyat tidak selesa.
Tegasnya, semua pihak sepatutnya melihat siapa yang mulakan isu sensitif di negara ini dan Pemuda UMNO hanya bersuara untuk mempertahankan apa yang berlaku.
"Kita pertahankan, kita bukannya memulakan. Kita juga bukan nak gaduh, tapi kita nak perbetulkan.
"Bila kamu dah buat benda yang salah, maka kamu kena hadaplah," katanya.
Beliau turut memberitahu, meskipun berdepan ugutan dan cacian daripada sesetengah pihak, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus bersuara pada isu yang menyentuh hati masyarakat Islam.
"Kita bukannya mahu mengenakan mereka tetapi mahu beri pengajaran dan tindakan yang perlu diambil perlulah tegas.
"Kalau kita tak buat macam ini, maka orang tidak akan hormat lagi perpaduan kaum yang ada di negara kita dan akan ada saja yang mempertikaikan itu dan ini.
"Bila pengajaran tegas, semua orang akan mula fikir yang mereka perlu lebih berhati-hati dan menjaga perpaduan yang ada ini dengan lebih baik," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!