Attar teruja masuk sekolah baharu

Iklan
Attar Azim ditemani Umi Salwa memulakan sesi baharu persekolahan di sekolah baru, Sekolah Kebangsaan (SK) Trolak Utara dekat Sungkai pada Selasa.

TANJUNG MALIM - Meskipun sedikit lewat memulakan sesi baharu persekolahan, Attar Azim Syukran Jamil tetap teruja menghadiri kelas di sekolah baharunya di Sekolah Kebangsaan (SK) Trolak Utara dekat Sungkai pada Selasa.

Anak yatim piatu berusia sembilan tahun itu mendaftarkan diri sebagai murid Tahun Tiga di sekolah berkenaan selepas urusan pertukaran sekolah dari SK Desa Pandan, Kuala Lumpur selesai semalam.

Iklan
Iklan

Ketika ditemui pemberita, Attar Azim mengakui tidak sabar untuk kembali mengikuti sesi pembelajaran di sekolah.

Menurutnya, walaupun ketika ini dalam suasana sekolah baru, dia sedikit pun tidak berasa kekok atau takut untuk berdepan guru dan rakan sekelas.

Iklan

"Tadi Attar bangun awal untuk sahur, lepas tu tidur balik. Jam 6.30 pagi baru siap-siap nak ke sekolah," katanya.

Kanak-kanak itu tiba di pekarangan sekolah pada jam 7.20 pagi lengkap berpakaian seragam sekolah berwarna biru dan bertali leher ditemani ibu saudara, Umi Salwa Ab Hamid, 40.

Iklan
Attar Azim teruja menghadiri kelas di sekolah barunya di Sekolah Kebangsaan (SK) Trolak Utara dekat Sungkai pada Selasa.

Insiden yang menimpa Attar Azim mendapat perhatian umum selepas kehilangan semua empat ahli keluarga termasuk ibu bapanya dalam kemalangan di Kuala Krai, Kelantan pada 2 Mac lalu.

Dia yang turut terlibat dalam kejadian itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan.

Kanak-kanak itu kini tinggal di kediaman keluarga arwah bapanya bersama datuk dan nenek di Felda Trolak Utara.

Sementara itu, Umi Salwa berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri kerana memudahkan urusan pertukaran sekolah anak saudaranya itu.

Katanya, ahli keluarga yakin, kanak-kanak itu dapat menyesuaikan diri di sekolah baharu tersebut, lebih-lebih lagi bapa saudara Attar Azim, Nor Azam Ab Hamid berkhidmat di sekolah sama sebagai Penolong Kanan Kokurikulum.

"Alhamdulillah, dia seronok di sini, nak ke sekolah pun gembira. Cuma jangan terus menerus sentuh emosinya. Dia masih tak boleh lagi (lupakan kejadian itu)," katanya.

Dalam kejadian di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu - Gua Musang dekat Kampung Pahi, Kuala Krai sekitar jam 1.40 petang itu, Syukran Jamil Ab Hamid dan isteri, Noor Aishah Razali masing-masing berusia 35 tahun bersama anak mereka, Lufya Adeena berusia setahun disahkan terkorban di lokasi kejadian.

Seorang lagi anak mereka, Ahya Rafiqi, 6, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Myvi dipandu Syukran Jamil dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang bertembung dengan sebuah Nissan March dipandu warga Thailand yang masuk ke laluan dari arah bertentangan.

Kesemua mereka semasa kejadian dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarahi ahli keluarga dan bercuti di Kota Bharu, Kelantan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!