Kes saman KJ terhadap Jamal Yunos diteruskan

Iklan
Khairy Jamaluddin (kiri) dan Jamal.

KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, berhubung satu kenyataan media ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, akan diteruskan di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Peguam, Shakeel Saifuzzaman mewakili Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO berkata, kes berkenaan akan diteruskan susulan keputusan mahkamah menolak permohonan Jamal untuk membatalkan saman berkenaan kerana terdapat isu yang perlu dibicarakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, permohonan Jamal selaku defendan untuk membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan anak guamnya sebagai plaintif, ditolak dengan kos dalam klausa.

"Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Suzana Muhamad Said, menetapkan 27 Mei delan untuk sebutan kes seterusnya,” katanya selepas dihubungi media selepas prosiding dijalankan menerusi aplikasi Zoom, pada Selasa.

Iklan

Perbicaraan dijangka bermula pada 2026.

Pada 24 Mei tahun lalu, Khairy memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Jamal berhubung sidang media semasa PAU 2022, Januari tahun sama.

Iklan

Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ selaku plaintif, mengemukakan saman itu melalui firma guaman, Tetuan Aizat Izuan Shakeel dengan menamakan Jamal defendan tunggal dan menuntut ganti rugi khas sebanyak RM1 juta daripada Jamal.

Khairy juga meminta defendan memadamkan kenyataan tersebut di akaun media sosialnya serta-merta dari tarikh penghakiman.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khairy berkata, semasa PAU 2022 pada 14 Januari lalu, Jamal mengadakan sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dengan dihadiri pengamal media, perwakilan UMNO, ahli dan pemimpin parti itu.

Plaintif mendakwa Jamal memuat naik rakaman sidang video itu bertajuk ‘Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semberono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya’ di akaun media sosialnya pada 14 dan 15 Januari.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28