PETALING JAYA - Lambakan papan iklan di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) terutama di Kelana Jaya dan Damansara dilihat mampu mengundang risiko keselamatan kepada pengguna.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati puluhan papan iklan gergasi mengisi jenis statik dan digital memenuhi bahagian tepi jalan selain digantung pada jejambat pejalan kaki lebuh raya berkenaan.
Terdapat papan iklan digital dengan pencahayaan terlalu terang selain hampir dengan jalan boleh mengganggu fokus pemanduan pengguna.
Selain itu, terdapat beberapa lokasi di lihat tidak sesuai diletakkan papan iklan antaranya pemasangan papan iklan digital di laluan sebelum memasuki terowong.
Didapati, papan iklan tersebut juga turut menghalang penglihatan pemandu yang membuat pusingan U.
Sementara itu menjengah di media sosial X, ada dalam kalangan pengguna turut meluahkan rasa kurang selesa dengan lambakan papan iklan yang menghiasi sepanjang lebuh raya berkenaan.
Salah salah seorang pengguna media sosial, Blackpearl menerusi hantaran di aplikasi X mempersoalkan pemasangan papan iklan digital pada selekoh pusingan U di Damansara Utama.
"Saya rasa tidak selamat apabila dipasang papan iklan yang sangat mengganggu penglihatan untuk pemandu yang mahu membuat pusingan u.
"Ia sangat berisiko kepada pengguna. Bagaimana dapat kelulusan? Tolong ambil perhatian isu ini segera," menerusi hantaran yang ditujukan kepada LDPtrafik.
Isu sama turut ditimbulkan oleh seorang pengguna aplikasi X, Sol Gun Joo.
"Apa benda besar gedabak duduk tengah-tengah ni. Dahla halang pemandangan, nak buat pusingan U pun kacau. Siapa punya (papan iklan)?, soalnya kepada LLMtrafik, LDPtrafik dan PJcitycouncil.
Tidak dipastikan kesemua papan iklan tersebut telah mendapat kebenaran atau dipasang secara haram.
Bagaimanapun, tinjauan mendapati ada antaranya telah mendapat kelulusan daripada Lebuhraya Lembaga Malaysia (LLM) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Sementara itu. LDP ketika dihubungi bagi mendapatkan maklum balas berkenaan isu itu memaklumkan, kelulusan pemasangan papan iklan adalah di luar bidang kuasa mereka.
Syarikat penyedia perkhidmatan tersebut perlu membuat permohonan dan kelulusan daripada LLM serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada LLM dan MBPJ berhubung isu tersebut.