KESABARAN umat Islam sekali lagi diuji. Kali ini, ia melibatkan isu kalimah ALLAH yang tertera pada stoking.
Setakat artikel ini ditulis, Polis Diraja Malaysia menerima sebanyak 42 laporan dan membuka dua kertas siasatan berhubung dengannya.
Jika melakukan gurauan melampau pun tidak dibenarkan dalam Islam, inikan pula mempersendakan Sang Pencipta sekalian alam.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi mengingatkan agar kita menjauhkan diri daripada kelompok yang berbuat demikian.
"Hari ini muncul golongan yang dilihat seakan bermain-main dengan sentimen agama.
Ia sebagaimana dirakamkan menerusi firman ALLAH SWT: "Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji)." (Surah al-An’am, ayat 70)
Jelas ahli akademik itu, perbuatan mempersenda ALLAH dan Rasul tersebut lahir dari benak kumpulan munafik yang memusuhi Islam pada zaman Rasulullah.
"Ia dapat dilihat menerusi Perang Tabuk yang mana ALLAH SWT mendedahkan sikap mereka yang merendahkan perjuangan Rasulullah SAW," ungkapnya.
Firman ALLAH SWT: "Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab:"Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah:"Patutkah nama ALLAH dan ayat-ayat-NYA serta Rasul-NYA kamu memperolok-olok dan mengejeknya?" (Surah al-Taubah, ayat 65)
Ahmad Sanusi kemudian turut menceritakan kisah tentang kutukan dan ejekan terhadap Rasulullah yang mana akhirnya mereka diberikan hukuman.
Jelas beliau, Al-Imam Al-Baghawi menjelaskan, sekumpulan orang munafik pernah mengejek-ngejek perjuangan Rasulullah SAW yang berusaha menyebarkan dakwah hingga ke sempadan wilayah Rom.
"Bayangkan mereka mempersenda usaha dakwah Baginda dan menakut-nakut para mujahidin bahawa mereka akan kalah bertempur dengan kerajaan Rom nanti.
"ALLAH mendedahkan sikap buruk mereka ini sehingga dinukilkan dalam al-Quran," katanya.
Satu lagi kisah, kata pensyarah itu, ia melibatkan seorang lelaki yang memiliki Ummu Walad (seorang hamba perempuan yang melahirkan anak kepada tuannya).
"Saidina Abdullah bin Abbas menceritakan, wanita tersebut sering mengutuk Baginda SAW. Setelah dinasihati berkali-kali oleh lelaki ini, wanita itu masih kekal dengan sifatnya yang menghina Rasulullah SAW.
"Hilang sabar dengan sikap perempuan itu, lelaki tersebut mengenakan hukuman.
"Apabila perkara ini disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW, Baginda berkata, perjanjian keamanan yang diberikan kepada perempuan tersebut telah terbatal kerana menyakiti Nabi," terangnya.
"Kesatuan umat Islam dalam menjaga agama merupakan langkah yang dipuji ALLAH," coretnya.