KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang memeriksa 1,619 premis di negeri ini sepanjang tempoh seminggu pelaksanaan Ops Pantau 2024.
Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, premis diperiksa terdiri bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya, premis menyediakan bufet Ramadan dan aktiviti jualan dalam talian yang menjadi tumpuan.
Menurutnya, dalam tempoh itu, KPDN Pahang turut menerima dan menyiasat enam aduan berkaitan isu harga, keberadaan bekalan barangan keperluan, penggunaan alat timbang dan sukat, perihal halal dan barang tiruan.
"KPDN Pahang telah mengambil tindakan terhadap empat peniaga di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.
Jezlily berkata, pihaknya telah menggerakkan 137 anggota penguat kuasa di seluruh Pahang bagi melaksanakan penguatkuasaan bersasar sepanjang bulan Ramadan dan sambutan hari raya Aidilfitri melalui Ops Pantau 2024.
"Pemeriksaan Ops Pantau ini berkuat kuasa bermula 12 Mac lalu dan antara fokusnya berkaitan bekalan barangan, harga barangan, jualan murah, penggunaan alat timbang, penjualan barang tiruan dan kepatuhan halal.
"Pemeriksaan dan pemantauan dijalankan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa terutama sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri," katanya.
Jelas beliau, KPDN Pahang turut menjalankan operasi bersepadu bersama agensi dan jabatan penguatkuasaan lain sepanjang pelaksanaan Ops Pantau kali ini termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Kesihatan Daerah(PKD) Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (Jaip) dan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"KPDN mengingatkan kepada semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang telah ditetapkan.
"Amalkan amalan perniagaan beretika dan tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan yang berlebihan," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28