KPT diminta perinci penggunaan subseksyen 4(a) AUKU 2023

Iklan
Mahasiswa Progresif UM minta KPT perincikan penggunaan subseksyen 4(a) dalam Seksyen 48 AUKU 2023. Gambar hiasan.
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diminta memperincikan prosedur penggunaan untuk subseksyen 4(a) iaitu kuasa menentukan tempoh perkhidmatan bagi majlis perwakilan pelajar (MPP) Universiti Awam (UA) jatuh di tangan ahli lembaga pengarah universiti.

Penetapan dalam Seksyen 48 Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Pindaan 2023 itu perlu dijelaskan agar ia tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik serta peribadi.

Mahasiswa Progresif Universiti Malaya (Mahasiswa Progresif UM) berkata, pihaknya menyambut baik usaha KPT berkenaan pindaan tersebut, namun perkara yang disangka bermakna dalam sejarah disifatkan sebagai ‘kemenangan tertangguh’ berikutan penambahan pada Seksyen 48(4) Jadual Pertama AUKU.

"Pembentangan enam pindaan baharu melibatkan kebenaran bagi MPP atau badan perwakilan pelajar untuk memungut wang, menerima sumbangan dan menyelenggara kumpulan wang; penyelarasan tempoh pemilihan MPP berdasarkan kalendar akademik serta pemantapan amalan tadbir urus tatatertib mahasiswa.

"Sebelum pindaan dilakukan, AUKU menetapkan perkhidmatan ahli majlis perwakilan pelajar terpilih selama satu tahun, namun ia menambah subseksyen 4a yang menetapkan kuasa menentukan tempoh perkhidmatan MPP Universiti Awam jatuh ke tangan ahli lembaga pengarah universiti,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan RUU AUKU Pindaan 2023 yang diluluskan di Dewan Rakyat akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara pada April ini.

KPT memaklumkan, kelulusan berkenaan adalah untuk mengangkat martabat pelajar universiti awam selaras dengan agenda pemerkasaan mahasiswa.

Iklan

Pindaan tersebut bakal menyaksikan ruang lebih besar kepada pelajar terlibat dalam kegiatan kampus sejajar usaha memperkasa dan meningkatkan mutu mahasiswa.

Dalam pada itu, Mahasiswa Progresif UM turut memaklumkan, penambahan subseksyen terbabit memberi impak secara langsung terhadap susunan gerak kerja MPP berikutan tempoh perkhidmatan tidak tetap selain mengekang pelaksanaan manifesto yang komprehensif.

Iklan

Tambahnya, keputusan ahli lembaga pengarah menetapkan tempoh perkhidmatan MPP sama ada dipendekkan atau dipanjangkan juga boleh dimanipulasi mengikut kehendak pihak berkenaan sendiri tanpa sebarang justifikasi.

"Keputusan menggusarkan akan berlakunya penyalahgunaan kuasa di peringkat pentadbiran yang secara langsung mengekang pemerkasaan autonomi mahasiswa universiti.

"Oleh itu, kami senada dengan perbahasan beberapa ahli Parlimen sewaktu bacaan kali kedua yang membangkitkan kerisauan tentang bagaimana subseksyen baharu ini berkemungkinan disalahgunakan yang secara tidak langsung memberi implikasi kepada gerak kerja MPP,” ujarnya.