Timbalan Speaker berdoa selepas Dewan Rakyat kecoh

Iklan
Ramli pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor menadah tangan dan berdoa sebaik sahaja mengambil alih Sidang Dewan Rakyat daripada rakannya, Alice Lau.

Ia ekoran situasi kecoh semasa sesi penggulungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai Rang Undang-undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 dicelah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Iklan
Iklan

Aksi spontan itu sekali gus dilihat berjaya meredakan ketegangan yang timbul apabila beberapa ahli Parlimen sebelum itu bertikam lidah.

Terdahulu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mempersoalkan status quo Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam RUU itu yang dilihat memberi kuasa berlebihan.

Iklan

"Cuma yang kita minta hanyalah satu iaitu ‘power to exam’, itu sahaja. Kita mahu ‘check and balance’ jika mahu memberi contoh kepada dunia luar.

"Kita tidak mahu perkara yang boleh menyebabkan kedaulatan negara dipersoalkan lain kali. Kalau berlaku seorang perdana menteri yang ada perkara-perkara yang boleh menyebabkan the super power 'picit' dia,” katanya.

Ramli menadah tangan dan berdoa sebaik sahaja mengambil alih Sidang Dewan Rakyat daripada rakannya, Alice Lau.

Iklan

Azalina kemudiannya secara spontan bertanyakan apa yang dimaksudkan dengan ‘picit’.

"Bulan puasa ini nak picit apa? Yang Berhormat cakap pasal kedaulatan. (Ahli Parlimen) Kota Bharu cakap pasal kedaulatan. Saya kata ia tak ada dalam isu ini tapi ada dalam Akta MKN,” katanya.

Hamzah kemudiannya menyampuk dan menyatakan yang dimaksudkan adalah ‘squeeze’, sambil menambah dia tidak bercakap pasal kedaulatan, tapi yang boleh mengakibatkan kedaulatan.

Pertengkaran itu berlarutan sehingga menyebabkan Alice memutuskan masa sudah tamat.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin bangkit dan menyatakan, ia bukan soal pembangkang tetapi berkaitan isu negara.

Alice sekali lagi meminta semua ahli Parlimen yang terlibat untuk duduk, sebelum Azalina menyampuk.

"Saya berpuasa Yang Berhormat, Yang Berhormat pun berpuasa... sabarlah.

"Kalau undang-undang ini tiada, kita takut apa yang berlaku terhadap Sulu dalam negara mungkin berulang kerana negara lain, bidang kuasa lain anggap kita tidak beri ‘reciprocity’ terhadap kekebalan. Itu sahaja,” jelas Azalina.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28