Tindakan cekap polis selamatkan dua beranak dalam kebakaran

Iklan
Mohamad Hazieril Hanif (kiri) bersama rakan sepasukan menyelamatkan dua beranak dalam kebakaran di sebuah unit kondominium, di sini, pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Tindakan pantas tiga anggota polis memecahkan pintu satu unit kondominium di Wangsa Maju, di sini, berjaya menyelamatkan dua beranak daripada lemas akibat terhidu asap dalam kebakaran, pada Isnin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, bapa berusia 31 tahun dan anak perempuannya berusia tiga tahun terperangkap dalam rumah selepas disyaki kotak fius elektrik dalam ruang grill kediaman mereka meletup secara tiba-tiba, sebelum terbakar.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden, Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada isteri mangsa memaklumkan suami dan anaknya terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka yang terletak kira-kira 20 meter dari Balai Polis Wangsa Maju.

"Sebaik menerima maklumat, tiga anggota polis bergegas ke kondominium berkenaan selepas memaklumkan kepada pihak pengurusan tentang kejadian yang berlaku, sebelum mereka naik ke tingkat 19 (kediaman mangsa) selepas mendapati pihak bomba masih dalam perjalanan.

Iklan

"Anggota polis tersebut terpaksa menaiki tangga ke tingkat 19 kerana sistem bekalan elektrik terputus dan bertindak memecahkan pintu kediaman bagi menyelamatkan dua beranak terbabit," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Ashari berkata, beliau kagum dengan usaha anggotanya yang mengambil tindakan nekad menyelamatkan dua beranak itu.

Iklan

Sementara itu, salah seorang daripada tiga anggota polis terbabit, Lans Koperal Mohamad Hazieril Hanif Ahmad berkata, sebaik dimaklumkan tentang situasi dua mangsa yang terperangkap, dirinya hanya memikirkan tentang bagaimana hendak membawa mereka keluar dari kediaman yang berkunci.

"Selepas tahu tentang situasi itu bercampur bimbang dengan keadaan kanak-kanak perempuan itu, tanpa berfikir panjang saya dan rakan anggota nekad naik ke tingkat 19 yang sudah diselubungi asap tebal.

Mohamad Hazieril Hanif berkata, selepas hampir 20 minit, beliau mendapati dua beranak terbabit yang berada di balkoni, sebelum dibawa keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri melalui tangga kecemasan.

"Ketika hendak turun ke bawah kami sempat memaklumkan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang baharu tiba bahawa mangsa sudah diselamatkan.

Dalam perkembangan sama, pengadu, Anis Farhana Abd Aziz yang juga isteri mangsa mezahirkan ucapan terima kasih kepada tiga anggota polis yang berusaha menyelamatkan nyawa suami dan anaknya tanpa memikirkan keselamatan diri mereka.

"Semasa bergegas pulang ke rumah selepas dihubungi suami tentang kebakaran rumah dan dalam keadaan sepontan saya terus menghubungi Balai Polis Wangsa Maju yang terletak bersebelahan kediaman untuk menyelamatkan mereka.

"Syukur tindakan pantas anggota polis dapat menyelamatkan suami dan anak saya daripada lemas terhidu asap, terima kasih polis," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28