KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, analisis terkini daripada Integrated Food Security Phase Classification (IPC) mencerminkan keadaan yang meruncing dihadapi penduduk Gaza.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, lebih sejuta orang dijangka menghadapi kelaparan melainkan lebih banyak makanan dibenarkan masuk ke Gaza.
"Sebelum krisis ini, makanan adalah mencukupi untuk populasi di Gaza. Pemakanan tidak seimbang jarang berlaku. Sekarang, mereka sedang menunggu ajal dan ramai yang sakit,” katanya dalam kenyataan WHO yang disiarkan dalam lawan sesawang rasmi agensi itu.
IPC yang disokong Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) berkata, keseluruhan penduduk Semenanjung Gaza berjumlah 2.23 juta itu menghadapi ketidakstabilan bekalan makanan yang teruk.
Menurut laporan itu antara pertengahan Mac hingga pertengahan Julai, senario yang mungkin terjadi dengan anggapan konflik ini terus merebak termasuk serangan darat di Rafah, separuh daripada populasi atau 1.1 juta orang di Semenanjung Gaza dijangka menghadapi bencana.
Ia juga berkata, kebuluran kini dijangka berlaku dan tidak dapat dielakkan di utara Gaza serta seluruh kawasan pentadbiran Gaza dan dijangka menjadi kenyataan dari pertengahan Mac hingga Mei 2024.
Ghebreyesus berkata, laporan IPC mengesahkan bahawa WHO, rakan kongsi PBB dan badan bukan kerajaan (NGO) telah menyaksikan dan membuat laporan selama berbulan-bulan.
"Apabila wakil kami tiba di hospital, kami menemukan pekerja kesihatan yang keletihan dan kelaparan meminta makanan dan air. Kami menyaksikan pesakit dalam proses penyembuhan selepas pembedahan untuk menyelamatkan nyawa dan kehilangan anggota badan atau menghidapi kanser atau diabetes, ibu yang baharu saja melahirkan anak atau bayi baharu dilahirkan, semuanya menderita kelaparan dan penyakit dihidapi mereka,” katanya.
Beliau berkata: ”Tanpa peningkatan ketara dan segera dalam penyampaian makanan, air dan keperluan penting yang lain keadaan akan bertambah buruk. Hampir kesemua isi rumah tiada makanan yang mencukupi setiap hari dan orang dewasa mengurangkan makanan mereka supaya kanak-kanak dapat makan."
Ghebreyesus berkata, keadaan semasa ini akan mengakibatkan kesan jangka panjang kepada kehidupan dan kesihatan ramai.
"Pada masa ini kanak-kanak menghadapi kematian daripada gabungan pemakanan tidak seimbang dan penyakit. Pemakanan tidak seimbang menjadikan mereka mudah untuk jatuh sakit, mengalami pemulihan yang lambat atau mati apabila mereka dijangkiti penyakit.
"Kesan jangka panjang pemakanan tidak seimbang, kurang pengambilan makanan yang kaya dengan zat makanan, jangkitan berulang dan kurang kebersihan dan perkhidmatan sanitasi memperlahankan keseluruhan tumbesaran kanak-kanak. Ini akan menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan generasi akan datang,” katanya.
Ghebreyesus berkata, WHO dan rakan kongsi PBB yang lain telah meminta Israel supaya membuka lebih banyak laluan untuk menyeberangi sempadan dan mempercepatkan kemasukan dan penyampaian air, makanan, bekalan ubat-ubatan dan lain-lain bantuan kemanusian ke Gaza.
'’Adalah menjadi tanggungjawab Israel di bawah undang-undang antarabangsa untuk membenarkan laluan untuk bekalan, termasuk makanan.
"Usaha menyampaikan bantuan melalui jalan udara dan air baru-baru ini dialu-alukan tetapi dengan meluaskan penghantaran melalui jalan darat akan membolehkan penyampaian bantuan berskala besar dilakukan untuk mengelakkan kebuluran. Sekarang adalah masa untuk bertindak,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!