Perak SADC rekod pendapatan hampir RM800 juta

Iklan
Saarani (kanan) menyempurnakan Prapelancaran Karnival Agropelancongan Perak 2024 di Ibu Pejabat, Perak SADC di sini pada Selasa.

IPOH - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) mencatat prestasi memberangsangkan apabila berjaya merekodkan pendapatan RM794.8 juta sepanjang tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) itu turut mencatat keuntungan bersih berjumlah RM43 juta pada tahun 2023.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan prestasi tersebut Perak SADC menyasarkan keuntungan pada tahun ini sebanyak RM70 juta.

"Perak SADC juga telah menyumbang sebanyak RM55.33 juta sepanjang tahun 2023 khusus untuk bantuan kepada kerajaan negeri serta rakyat negeri Perak.

Iklan

"Sumbangan yang diperuntukkan bagi manfaat kepada kerajaan negeri dan rakyat di negeri Perak ini adalah berdasarkan kecemerlangan yang dicapai oleh Perak SADC melalui prestasi kewangannya yang merekodkan pendapatan RM794.8juta sepanjang tahun lalu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perak SADC, Pelancaran Pra-pesanan Jualan Rahmah Aidilfitri dan Prapelancaran Karnival Agropelancongan Perak 2024 di Ibu Pejabat, Perak SADC pada Selasa.

Iklan

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Yahanis Yahya.

Saarani menyaksikan Majlis Ikrar Dana Peruntukan Subsidi Perak SADC bernilai RM3 Juta bagi Program Jualan Kedai Bergerak Negeri Perak 2024 dengan kerjasama YBU di Ibu Pejabat, Perak SADC di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Lori Kedai Bergerak Negeri Perak (KBNP) bernilai RM300,000 kepada Yayasan Bina Upaya (YBU) Darul Ridzuan serta Majlis Ikrar Dana Peruntukan Subsidi Perak SADC bernilai RM3 Juta bagi Program Jualan Kedai Bergerak Negeri Perak 2024 dengan kerjasama Yayasan Bina Upaya (YBU).

"Bila kita mula turun padang menjual barang dengan harga murah, kita dapati permintaan sangat tinggi. Sekarang permintaan bukan sahaja kuantiti barang, bilangan atau jenis barang tetapi kekerapan menjual dan pertambahan lokasi.

"Sebab itu SADC membantu dengan menampung pembelian sebuah lori tambahan," katanya yang juga Pengerusi Perak SADC.

Mengenai Majlis Pelancaran Pra-pesanan Jualan Rahmah Aidilfitri, Saarani berkata jualan beberapa jenis barangan seperti ayam segar, daging lembu tempatan dan telur ayam dijual dengan harga subsidi sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial korpora (CSR) dalam membantu rakyat Perak untuk mendapatkan bekalan dengan harga yang murah pada perayaan Aidilfitri nanti.

Menurutnya, menerusi Jualan Rahmah tersebut, harga ayam dijual pada harga RM6 seekor, telur pula dijual pada harga RM10 bagi 30 biji manakala daging segar tempatan boleh didapati dengan harga RM32 sekilogram.