ALOR SETAR - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menerusi kerjasama kerajaan Kedah merealisasikan pelaburan sebanyak RM11.6 bilion dan mewujudkan lebih 3,400 peluang pekerjaan pada 2023.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, nilai itu jauh mengatasi jangkaan dan sasaran awal ditetapkan NCIA yang hanya RM8.8 bilion.
Menurutnya, kejayaan itu adalah indikator keyakinan para pemain industri terhadap potensi masa hadapan Kedah.
"NCIA telah memainkan peranan yang sangat penting terutama melaksanakan pelbagai projek strategik seperti Bandaraya Getah Kedah (KRC) dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) bagi merangsang pelaburan berimpak tinggi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum itu, Muhammad Sanusi berucap pada Majlis Penghargaan bagi syarikat yang terlibat dalam Program Advanced Technology Meister (ATMP), NCER Technology Innovation Centre (NTIC) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri Kedah.
Muhammad Sanusi turut memuji program pembangunan bakat berteraskan rakyat dilaksanakan NCIA yang telah memberi manfaat kepada lebih 21,596 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Untuk rekod, program itu dilaksanakan sejak tahun 2019 dengan jumlah pelaburan keseluruhan bernilai RM610.47 juta direkodkan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, kejayaan merealisasikan pelaburan sebanyak RM11.6 bilion adalah hasil kerjasama erat dan berterusan dengan pihak pemegang taruh merangkumi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi kerajaan negeri.
Beliau menyifatkan, pelaburan dicatat merangkumi sektor tumpuan dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER seperti pembuatan, perniagaan tani, logistik, ekonomi digital dan pelancongan
"NCIA juga akan mengambil pendekatan untuk memanfaatkan kelebihan strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dengan negara jiran seperti Thailand untuk memupuk sinergi kerjasama rentas sempadan menerusi inisiatif Koridor Zon Ekonomi Sempadan Khas Malaysia-Thailand (SBEZ).
"Kelebihan rentas sempadan ini berpotensi besar untuk menggalakkan pelaburan asing dan mempercepatkan kemajuan ekonomi di wilayah Utara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, mengenai Majlis Penyerahan Sijil kepada Menang Nusantara dan Continental Tyre AS bagi Program NCER Technology Innovation Centre (NTIC), Mohamad Haris memberitahu, NTIC adalah inisiatif yang memfokuskan kepada aktiviti berkaitan penyelidikan, reka bentuk, teknologi, inovasi dan pengkomersialan.
Beliau berkata, NTIC menawarkan tiga inisiatif di bawahnya iaitu Centre of Excellence (CoE), Advanced Technology Meister Programme (ATMP) dan Technology & Innovation (T&I) dengan mengamalkan konsep kerjasama antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, syarikat multinasional serta akademia.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Menang Nusantara dan Continental Tyre AS kerana telah menyertai inisiatif ATMP bagi membangunkan bakat berkemahiran tinggi menerusi modul khusus yang menepati permintaan industri,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28