SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dicadang memberikan rebat antara 15 ke 20 peratus daripada jumlah keseluruhan bil elektrik bermula Januari hingga Mac bagi rumah yang bernilai RM300,000 ke bawah.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, cadangan merangkumi kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan itu bertujuan meringankan beban kewangan rakyat di lokasi tersebut.
"Ia susulan negara yang mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan akibat ketiadaan hujan dalam tempoh lama ketika fasa akhir Monsun Timur Laut hingga penghujung Mac ini.
"Kami di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan amat terkesan dengan keadaan gelombang haba, kehidupan harian menjadi lebih mencabar.
"Secara langsung, kos penggunaan elektrik berlipat ganda susulan penggunaan pendingin hawa dan kipas yang berpanjangan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ambun Dindang melaporkan cuaca panas dijangka kekal hingga pertengahan April berikutan kurangnya awan yang boleh membawa hujan serta fenomena ekuinoks yang dijangka berlaku pada Rabu.
Menurutnya, dalam tempoh ekuinoks yang menyaksikan jangka masa siang dan malam adalah sama, matahari berada tepat pada garisan Khatulistiwa dalam proses pergerakan dari hemisfera selatan ke hemisfera utara.
Beliau berkata, dalam tempoh itu suhu boleh mencecah antara 35 hingga 38 darjah Celcius bergantung kepada kehadiran awan dan hujan pada masa tersebut.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan cuaca panas dengan suhu maksimum 35 hingga 37 darjah Celcius di Kuala Lumpur, Batu Pahat, Johor dan Sepang, Selangor selama tiga hari berturut-turut bermula Selasa.
Katanya, kawasan lain yang turut mengalami cuaca panas adalah Raub dan Temerloh, Pahang; Selangor serta beberapa daerah di Perlis, Kedah dan bahagian tengah Perak.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28