YAYASAN Mr D.I.Y menyumbangkan sebanyak 15,000 air mineral untuk Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 bagi menampung keperluan minuman pengunjung yang hadir.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, infak tersebut adalah antara sumbangan terbesar yang diterima pihaknya.
"Mereka hubungi pihak Kumpulan Karangkraf untuk menyatakan persetujuan menginfak, jadi kita dengan besar hati menerima sumbangan tersebut.
"Sumbangan yang diterima berjumlah 15,000 botol mineral dan setiap botol adalah 500 mililiter,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 bermula 13 Mac hingga 4 April terbuka kepada 1,000 tetamu sehari bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat.
Program tersebut bermula pada jam 6 petang setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, di sini.
Tambah Nik Justin, Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 akan menjadi satu platform kepada pelbagai agensi dan badan korporat untuk turut serta memberi sumbangan.
Ujarnya, penganjuran program tersebut bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat dengan berbuka puasa secara percuma sepanjang bulan Ramadan.
"Saya berharap penganjuran program ini akan lebih besar untuk tahun-tahun seterusnya dan akan ada banyak lagi sokongan daripada rakan strategi supaya setiap pengunjung boleh merasai pengalaman terbaik yang mereka tidak dapat lupakan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi MR DIY Group Berhad, Datuk Azlam Shah Alias berkata, penganjuran program tersebut dapat memberikan keinsafan kepada orang ramai tentang kesusahan golongan yang tidak berkemampuan.
Menurutnya, mereka mungkin terpaksa berbuka puasa di tempat-tempat yang tidak selesa berbanding orang berkemampuan yang berbuka di atas kerusi empuk lengkap berserta hidangan enak atas meja.
"Program ini cukup menarik supaya dapat memberi kita kesedaran dan merasai sendiri berbuka puasa beramai-ramai di kawasan yang selesa.
"Tidak semua orang mampu berbuka puasa dengan selesa di rumah masing-masing, maka ini adalah peluang terbaik untuk mereka mendapatkan pengalaman yang unik di Iftar Ala Madinah @Karangkraf,” kata beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28