SEOUL - Sistem penjagaan kesihatan Korea Selatan berdepan satu lagi cabaran apabila profesor perubatan mengumumkan mereka akan menyerahkan surat peletakan jawatan mereka secara autonomi bermula 25 Mac ini.
Tindakan itu sekali gus bakal menamatkan pembabitan mereka dalam penjagaan pesakit dan prosedur pembedahan.
Profesor perubatan yang memainkan dua peranan sebagai doktor di hospital telah mengisi kekosongan tugas ditinggalkan doktor pelatih susulan protes berbulan-bulan terhadap reformasi latihan kerajaan.
Malah, 25 Mac merupakan tarikh akhir untuk doktor pelatih mengemukakan pandangan mereka mengenai pergantungan lesen kerana mengingkari arahan kerajaan untuk kembali bekerja semula.
Keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa kecemasan yang terdiri daripada profesor perubatan dari 20 universiti perubatan mengadakan mesyuarat dalam talian pada Jumaat akan mengambil tindakan kolektif berhubung isu ini.
Daripada 20 universiti perubatan, 16 daripadanya menyokong menyerahkan surat peletakan jawatan, manakala bakinya masih mengumpul pendapat sama ada untuk menyertai langkah itu.
Susulan pengumuman itu, Menteri Kesihatan, Cho Kyoo-hong menyatakan kebimbangan yang mendalam berhubung tindakan kolektif profesor semasa mesyuarat Ibu Pejabat Tindakan Bencana dan Keselamatan Pusat pada Ahad, mengatakan bahawa ia boleh membahayakan nyawa dan keadaan kesihatan pesakit.
"Kerajaan berharap profesor akan bersama-sama dengan pesakit mereka bagi mengelakkan kebimbangan orang ramai.
"Kami akan sentiasa mendengar setiap pendapat profesor ni," kata Kyoo-hong yang dipetik dalam kenyataan. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28