PUTRAJAYA - Isu penguasaan warga asing dalam rantaian perbekalan sayur di negara ini perlu ditangani secara menyeluruh, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, isu itu memerlukan penglibatan semua pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Ini bukan pendekatan tuding jari. Saya setuju bahawa sampai masanya untuk suatu tindakan menyeluruh membabitkan semua agensi kawal selia untuk melihat perkara ini bukan secara piecemeal (tidak sistematik).
"Sebab itu, semangat yang betul adalah tengok perkara ini secara menyeluruh tentang penguasaan warga asing dalam sektor ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di sini pada Selasa.
Media baru-baru ini melaporkan situasi berkenaan dan meraih perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang dilaporkan berkata isu itu perlu ditangani Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kerana undang-undang berkaitan adalah di bawah bidang kuasa kementerian terbabit.
Sebagai maklum balas kepada pandangan Fadillah, Saifuddin Nasution berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Fadillah dalam masa terdekat bagi membincangkan isu terbabit.
Beliau berkata, sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap isu berkenaan, KDN melihat perkara itu secara serius dan turut mengingatkan warga tempatan agar tidak memberi perlindungan kepada pendatang asing tanpa izin.
"Perbuatan ini (melindungi pendatang asing tanpa izin) adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution meminta orang ramai menyerahkan kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart.
"Sudah ada sejumlah laporan polis, biar hal ini diuruskan oleh polis,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil pihak KK Super Mart untuk dirakam keterangan minggu ini.
Isu berkenaan tular selepas penjualan stoking itu di KK Super Mart Bandar Sunway dimuat naik oleh pengguna media sosial pada 13 Mac lepas.
Mengenai dakwaan oleh seorang pengacara dan penyampai berita stesen televisyen tempatan bahawa anggota polis bersikap kasar, sombong dan tidak profesional ketika menjalankan tugas, Saifuddin Nasution berkata, insiden itu akan diselesaikan secara adil dengan mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak.
"Saya punya prinsip mudah iaitu dengar kedua-dua versi supaya kita dapat berlaku adil. Hal ini sekarang sedang diuruskan, kita tunggu keputusan,” katanya.
Baru-baru ini tular artikel ditulis pengacara terbabit yang mendakwa dilayan dengan teruk oleh dua anggota polis semasa melakukan pemeriksaan terhadapnya di kawasan perumahan USJ 9 di Subang Jaya, kira-kira jam 1.30 pagi, 13 Mac lepas.
Susulan itu, pihak polis akan memanggil lelaki berusia 30-an itu minggu depan untuk diambil keterangan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!