TANJUNG MALIM - Kerajaan mengumumkan pemberian bantuan khas bersasar sebanyak RM300 kepada peneroka Felda di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemberian bantuan khas bersasar itu diberikan khusus kepada peneroka Felda yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.
"Selain itu, peneroka yang berpendapatan RM1,001 hingga RM2,000 pula akan mendapat penangguhan potongan hutang tidak termasuk kos operasi ladang untuk hasil bulan Mac," katanya ketika berucap ketika Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Sungkai di sini pada Selasa.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengumumkan bahawa kementeriannya telah meluluskan projek membina jalan dari Felda Trolak Selatan ke Pekan Trolak di sini pada tahun lalu dengan kos RM35 juta.
Menurutnya, projek ini membabitkan pembinaan jalan sepanjang 2.3km yang bakal memberi manfaat kepada penduduk di Felda Trolak dengan menjimatkan masa perjalanan ke pekan Trolak dari 30 minit kepada 10 minit sahaja.
Jelasnya, bagi memberi peluang kepada generasi keempat dan kelima Felda, Majlis Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara diarahkan untuk menyelaraskan program TVET khususnya TVET Generik dan TVET Aras Tinggi bagi meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan.
Pada majlis itu juga Ahmad Zahid menyerahkan sumbangan berjumlah RM66,050 kepada 307 orang anak yatim dan golongan asnaf dari sekitar Trolak termasuk pemberian duit raya kepada pelajar maahad tahfiz.
Sumbangan ini disalurkan oleh FGV Holdings Bhd berjumlah RM50,000, RM13,000 dari Waqaf Felda dan baki RM3,050 dari JKKR Gabungan Wilayah Trolak.
Yayasan Felda dan Felda Global Venture Holdings Berhad turut menjalankan tanggungjawab sosial (CSR) mengagihkan barangan kelengkapan persekolahan di setiap sekolah di kawasan tanah rancangan Felda menerusi Program Welcome To School.
Jumlah agihan tersebut melibatkan 270 buah sekolah kebangsaan termasuk 20 buah sekolah di Wilayah Trolak dengan jumlah 656 murid dengan peruntukan RM98,400.