Sultan Nazrin berkenan rasmi Masjid Bandar Universiti

Iklan
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menanam pokok bunga tanjung tanda simbolik perasmian masjid ketika berangkat tiba pada Majlis Perasmian Masjid dan Berbuka Puasa Sultan Perak Sempena Ramadan Tahun 1445H / 2024M di Masjid Bandar Universiti Seri Iskandar pada Selasa. Turut hadir Menteri Besar, Perak Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto Bernama

SERI ISKANDAR - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Masjid Bandar Universiti di sini, yang juga dikenali sebagai Masjid Hijau.

Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira jam 7 malam disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Iklan
Iklan

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Harith Fadzilah Abdul Halim.

Sejurus tiba, Sultan Nazrin berkenan menanam pokok Bunga Tanjung serta merasmikan masjid itu sebelum menyertai majlis tahlil dan doa selamat serta berbuka puasa bersama lebih 800 jemaah.

Iklan

Baginda turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah sebelum berangkat pulang pada jam 9.40 malam.

Masjid berkeluasan sehektar dan boleh memuatkan 1,200 jemaah itu mula dibina pada 29 Ogos 2016 hingga 27 Julai 2018.

Iklan

Ia pernah menerima Anugerah Hamam Lima Bintang pada 15 Mei 2019 apabila menyediakan empat siak lelaki, dua siak wanita dan seorang tukang kebun bagi memastikan kemudahan luaran serta dalaman masjid itu sentiasa kemas, bersih, selamat dan ceria.

Pada 10 November 2019, masjid itu merangkul Anugerah Kejiranan Hijau Peringkat Kebangsaan atas inisiatif yang disediakan di premis berkenaan dan komuniti berhampiran. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!