ADDIS ABABA - Pengguna sebuah bank komersial terbesar di Ethiopia ibarat mendapat durian runtuh apabila mereka bebas mengeluarkan jumlah wang yang dikehendaki, gara-gara berlaku gangguan sistem pada akhir minggu lalu.
Media tempatan melaporkan lebih AS$40 juta (RM189 juta) dikeluarkan sejumlah pemilik akaun di Commercial Bank of Ethiopia (CBE) ketika insiden itu.
Institusi kewangan itu terpaksa mengambil masa selama beberapa jam untuk membekukan transaksi.
Presiden CBE, Abe Sano berkata, kebanyakan wang itu dikeluarkan oleh penuntut universiti setelah khabar angin tentang kejadian tersebut.
"Barisan panjang dapat dilihat di mesin teler automatik (ATM) di beberapa kampus.
"Mereka berlumba-lumba keluarkan wang sehingga polis tiba," jelas laporan itu lagi.
Salah seorang pelajar University Institute of Technology memberitahu, dia tidak percaya apabila dimaklumkan oleh rakannya.
Seorang lagi penuntut di Dilla University di selatan Addis Ababa berkata, sejumlah rakannya mengeluarkan wang dari ATM antara waktu tengah malam dan 2 pagi (waktu tempatan).
Lebih 38 juta merupakan pemegang akaun CBE yang ditubuhkan kira-kira 82 tahun lalu.
Sementara itu, Bank Pusat Ethiopia yang bertindak sebagai badan induk sektor kewangan menjelaskan 'gangguan' itu berlaku ketika aktiviti penyelenggaraan dan pemeriksaan.
Sebanyak tiga universiti mengeluarkan kenyataan meminta penuntut yang terlibat supaya mengembalikan wang yang bukan milik mereka.
Sano dalam satu kenyataan juga berkata, sesiapa yang berbuat demikian tidak akan didakwa dengan kesalahan jenayah. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28