SYDNEY - AUSTRALIA.Ratusan penghuni sebuah pusat tahanan pendatang di Australia melancarkan mogok lapar berikutan keadaan hidup yang teruk di pusat berkenaan.
Lebih 200 penghuni pusat tahanan di Penempatan Transit Imigran Melbourne dilaporkan enggan makan sehingga kerajaan bersetuju menambah baik kemudahan di fasiliti itu.
Menurut seorang penghuni pusat tahanan warga Iraq, Ali Yousuf, protes yang bermula Selasa lalu menuntut antara lain, kerusi meja sempurna untuk membuat kerja dan kebebasan untuk keluar selepas tengah malam tanpa pengawal.
"Saya tidak pernah melihat pusat tahanan seperti ini," kata lelaki berusia 30 tahun itu yang melarikan diri dari Iraq selepas dipercayai menjadi penterjemah untuk kontraktor tentera Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, kerajaan Australia dan kontraktor swasta SERCO yang membina pusat terbabit tidak memberikan maklum balas.
Dalam pada itu, penghuni pusat tahanan dijadual bertemu pegawai berkuasa untuk mencari penyelesaian.
Mogok lapar sering terjadi di pusat tahanan Australia yang menempatkan individu yang melanggar undang-undang imigresen.
Tahun lalu,ratusan penghuni sebuah pusat tahanan di Sydney mogok lapar kerana membantah peraturan ketat lawatan.- AFP