Mengapa pertikai perjuangan umat Islam pertahan kesucian agama?

Iklan
Laporan Sinar Harian

WALAUPUN sudah beberapa hari isu stoking tertera kalimah ALLAH berlegar di media sosial dan menjadi perbualan ramai, perkara ini seharusnya menjadi iktibar penting kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Malah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka dengan kejadian tersebut, apatah lagi Baginda sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 bukan lalu telah mengingatkan semua lapisan masyarakat untuk menjaga keharmonian negara, selain tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan raja.

Iklan
Iklan

Baginda turut bertitah, kalimah ALLAH dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam dan sepatutnya tidak timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.

Perkara tersebut diburukkan lagi dengan campur tangan ahli-ahli politik bukan Islam yang seakan mempertahankan 'tindakan tidak sengaja' pasaraya terlibat.

Iklan

Secara tidak langsung, tindakan itu membangkitkan kemarahan segelintir ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang melihat isu berkenaan sebagai menghina kesucian agama.

Persoalannya, mengapa perlu mempertikaikan perjuangan orang Islam yang mempertahankan kesucian agama dianuti, sedangkan ia tidak langsung melibatkan agama lain.

Iklan

Isu kalimah ALLAH pada stoking bukan isu politik, tetapi lebih kepada akidah dan tidak remeh pada pandangan serta sanubari masyarakat Islam.

Bak kata pepatah, jangan dijolok sarang tebuan, jangan disimbah minyak pada api.

Tidak terbelah perpaduan hanya kerana umat Islam mempertahankan kesucian agama, seharusnya jadikan pengajaran untuk sentiasa meletakkan sempadan dalam menghormati agama rasmi Persekutuan itu.

Sebagaimana ayat keenam dalam surah Al-Kafirun yang membawa maksud: 'Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku'.