Seramai 712 dapat pekerjaan, layak dipanggil temu duga

Iklan
SHAH ALAM - Seramai 712 individu berjaya mendapat pekerjaan dan layak ke temu duga kedua dalam Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs PERKESO 2024: Tiada Yang Terpinggir pada 14 Mac hingga 16 Mac lalu yang bertempat di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC).

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan, karnival ini dilaksanakan sempena Sambutan Hari Wanita oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bertepatan dengan Hari Wanita Sedunia yang disambut 8 Mac setiap tahun.

Penglibatan lebih 50 majikan yang menawarkan 10,000 peluang pekerjaan terdiri daripada pelbagai industri dan juga majikan yang menawarkan waktu bekerja secara fleksibel dengan gaji yang berpatutan antaranya RHB Bank, RHB Asset Management, PantangPlus dan DHL Asia Pacific Shared Services.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


"Hasil semakan PERKESO seramai 1,077 orang pencari kerja hadir ke karnival ini dengan 66 peratus yang hadir berjaya mendapat pekerjaan dan layak ke temu duga peringkat seterusnya dari majikan yang terlibat dalam karnival kerjaya ini,” jelas PERKESO dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

PERKESO menegaskan penganjuran karnival itu dilihat efektif dan memberi dampak positif kepada pencari kerja khususnya kepada wanita, dari segi peningkatan akses kepada pelbagai peluang pekerjaan yang ditawarkan majikan serta menggalakkan kesaksamaan jantina dalam tenaga kerja negara.



"Penganjuran karnival ini turut membuka lebih banyak ruang dalam pembangunan karier golongan wanita di masa hadapan dengan penglibatan pelbagai majikan yang menawarkan fleksibiliti waktu bekerja, pilihan bekerja dari rumah termasuk penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja,”katanya.

Sementara itu, salah seorang pencari kerja, Balqis Ali, hadir ke Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs memaklumkan, dia berjaya mendapatkan pekerjaan di PantangPlus sebagai In-House Therapist dan menyeru pencari kerja yang lain terutamanya wanita untuk mendaftar dengan MYFutureJobs kerana pelbagai peluang pekerjaan ditawarkan.



Terdahulu, Sambutan Hari Wanita KESUMA dan Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs PERKESO 2024: Tiada Yang Terpinggir ini telah dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed pada 14 Mac lalu.



PERKESO menyeru pencari kerja yang sedang mencari pekerjaan untuk menyertai Karnival Kerjaya dengan mendaftar di https://myfuturejobs.gov.my/careerfair/ atau layari https://myfuturejobs.gov.my/ untuk carian pekerjaan secara dalam talian.

Bagi majikan yang ingin menawarkan pekerjaan melalui portal MYFutureJobs, mereka juga boleh layari https://myfuturejobs.gov.my/.