Alat ganti, aksesori kereta tiruan dirampas

Iklan
Pegawai KPDN Pulau Pinang memeriksa di salah sebuah premis yang diserbu pada Selasa.

GEORGE TOWN - Sebanyak 1,263 unit alat ganti dan aksesori tiruan jenama Hyundai bernilai RM20,087 dirampas oleh sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang pada Selasa.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, rampasan itu dibuat dalam serbuan melibatkan empat premis berbeza di sekitar negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, serbuan dibuat bersama wakil pemilik cap dagang berdasarkan aduan yang diterima.

"Hasil serbuan yang dijalankan ke atas empat buah premis tersebut berjaya menemui barangan yang disyaki tiruan, terdiri daripada alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor yang didagangkan secara borong dan runcit.

Iklan

"Kesemua premis tersebut disyaki telah melakukan kesalahan dan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jegan turut memberi amaran kepada individu atau syarikat berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Iklan

"Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Sementara itu, bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," jelasnya.

Kata beliau, bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

"Pengguna diminta menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti yang menyalahi peraturan di bawah Akta KPDN.

"Orang ramai boleh menyalurkan aduan dan maklumat kepada kami melalui beberapa saluran antaranya WhatsApp di nombor 019-848 8000 atau 019-279 4317 dan Call Centre di talian 1-800-886-80," katanya.