IPOH - Seorang peniaga didenda RM20,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas dua pertuduhan memberi suapan kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB), tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Ibrahim Osman menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara sebulan bagi setiap pertuduhan selepas RK Sandra Segar, 39, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.
Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM8,000 adalah dilucuthakkan di bawah Seksyen 40(1) (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kepada Kerajaan Malaysia.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memberi suapan wang tunai berjumlah RM3,000 kepada seorang pegawai TNB melalui individu lain sebagai satu balasan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 37(3)(a) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) kerana dengan curang mengambil elektrik ke atas pengusahaan premisnya di Taiping.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir sebuah hotel sekitar jam 6.10 petang pada 1 Mac 2021.
Bagi pertuduhan kedua, peniaga itu telah secara rasuah memberi suapan wang tunai RM3,500 kepada pegawai sama melalui individu sama bagi tujuan sama di kafe sebuah hotel di Taiping sekitar jam 5.50 petang pada 8 April 2021.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak sampai 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa (SPRM), Mohamad Pahmi Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.