KUALA LUMPUR - Satu kajian menyeluruh amat penting bagi menamatkan pergantungan Malaysia terhadap pekerja asing yang berkemahiran dan berpendapatan rendah serta mengekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, langkah tersebut akan membolehkan peralihan kepada tenaga kerja yang sedia berubah, tabah dan dapat menghadapi cabaran masa depan termasuk pekerja yang berkemahiran dan berpendapatan tinggi seperti jurutera sektor perlombongan dan profesional teknologi maklumat.
"Oleh itu langkah-langkah segera perlu diambil untuk menangani ketidakpadanan kemahiran ini,” kata BNM dalam Laporan Tahunan 2023, yang dikeluarkan hari ini.
Bank Pusat berkata, satu isu yang membimbangkan adalah jumlah besar graduan yang sedia ada yang tidak sesuai untuk mengisi kerja kemahiran tinggi manakala syarikat menghadapi kesukaran mengisi kerja berkemahiran tinggi yang sedia ada.
Lebih teruk lagi sebanyak 55.7 peratus syarikat mendapati sukar untuk mencari pekerja yang memiliki kemahiran interpersonal dan berkomunikasi.
Menurut bank pusat satu kaedah berkesan untuk mengatasi ketidakpadanan kemahiran ialah menerusi kerjasama yang lebih erat antara kerajaan, industri dan ahli akademik dengan tujuan meningkatkan sukatan pendidikan dan latihan kerja.
Isu lain yang turut membimbangkan adalah menjelang 2030, automasi dijangka mengganti sebanyak 4.5 juta pekerjaan di Malaysia, dengan risiko pembuangan kerja tertinggi di sektor pertanian dan pembuatan.
Kecerdasan Buatan (AI) juga dijangka menjejaskan pekerja kolar putih (pekerja berpengetahuan dan mahir) yang menjalankan tugasan melibatkan analisis data, pengecaman corak dan membuat keputusan rutin.
Selain itu kata BNM, penduduk Malaysia yang semakin menua dengan pantas dan dijangka menjadi penduduk berusia dalam tempoh kira-kira dua dekad dari sekarang boleh menyebabkan kekangan modal insan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Bagaimanapun, berita baiknya adalah pada akhir 2023, kadar pengangguran Malaysia telah kembali pada kadar sebelum pandemik (purata tahun 2015-19) iaitu pada 3.3 peratus, yang mencerminkan sebahagiannya disebabkan peningkatan peluang bagi pekerjaan gig berasaskan lokasi seperti perkhidmatan penghantaran makanan dan e-panggilan (e-hailing).
Bank Negara juga berkata permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi juga semakin meningkat selepas pandemik COVID-19, yang mana antara suku keempat 2019 hingga suku keempat 2023, bilangan pekerja berkemahiran tinggi dalam guna tenaga meningkat sebanyak 6.6 peratus daripada 2.05 juta orang kepada 2.19 juta orang.
Sementara itu Bank Negara berkata pampasan pembahagian pendapatan pekerja yang lebih rendah di Malaysia berbanding kebanyakan negara maju yang mencerminkan hanya sebahagian kecil daripada"bahagian ekonomi” disalurkan kepada tenaga kerja juga merupakan suatu yang membimbangkan.
Memandangkan prospek ekonomi yang sangat mencabar bank pusat berkata pasaran tenaga kerja Malaysia memerlukan pembaharuan yang sangat menyeluruh.
Langkah yang perlu dilaksanakan kini adalah mempercepat pelaksanaan inisiatif strategik negara yang akan menyediakan peluang pekerjaan bergaji tinggi serta inisiatif yang boleh meningkatkan daya tahan tenaga kerja. - Bernama