SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa lebih sejam menziarahi bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Faridah Hitam di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor.
Ismail Sabri berkata, Faridah, 71, banyak menyampaikan maklumat dan membantu membina kariernya sebagai ahli politik.
"Saya mengenali beliau sejak mula menjadi Ahli Parlimen Bera pada 2004.
"Ziarah ini sebagai tanda kasih saya kepada beliau dan pengamal media yang lain atas jasa mereka membantu negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Faridah berkhidmat lebih 30 tahun di akhbar Utusan Malaysia baru saja kehilangan suami, Hassan Abdul Wahab yang meninggal dunia di usia 84 akibat jangkitan paru-paru pada 11 Mac lalu.
Beliau juga pernah menerajui akhbar Mingguan Malaysia pada Januari 2000 sebagai pengarang selama tiga tahun, dengan jumlah edaran yang pernah dicatat sebanyak lebih 700,000 naskhah.
Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa Program Kongsi Rezeki Ramadan yang dilancarkan tahun lalu akan diteruskan pada Ramadan tahun ini.
Melalui program tersebut, sebanyak 3,000 pek juadah berbuka puasa berjaya diagihkan dengan 500 daripadanya diperuntukkan kepada petugas keselamatan berpendapatan rendah.
"Program Kongsi Rezeki Ramadan 2024 dilangsungkan dengan inisiatif berbeza iaitu pada tahun ini fokus kita adalah untuk membantu bekas pengamal media yang kini sedang menghadapi ujian getir kehidupan.
"Insya-ALLAH, saya akan menziarahi beberapa orang lagi yang uzur dan sedang diuji dengan cabaran getir kehidupan,” jelas beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28